Terengganu muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Remaja Kebangsaan 2017 selepas menewaskan Pelapis Kebangsaan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam.

Skuad bimbingan legenda takraw negara, Mohd Futra Abd Ghani, itu terlebih dahulu mengungguli saingan kumpulan dengan menewaskan Perak 2-1 dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 3-0.

Di peringkat separuh akhir pula, Terengganu bangkit daripada kekalahan regu utama mereka sebelum mengatasi saingan sengit musuh tradisi, Pulau Pinang, 2-1.

Mereka tidak berdepan masalah dalam perlawanan akhir setelah regu utama serta kedua masing-masing mencatat kemenangan 21-16, 21-18 dan 21-19, 21-8 ke atas regu SSBJ.

Selaku juara, Terengganu membawa pulang trofi, pingat dan hadiah kemenangan RM1,500 yang disampaikan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail.

Lebih manis lagi, Muhammad Faizal Zulki dijulang selaku tekong terbaik kejohanan.

Mengulas lanjut kemenangan itu, Mohd Futra menyifatkan penganjuran liga peringkat dalaman pada bulan puasa lalu berjaya mengumpul pemain terbaik dari negeri itu.

Menurutnya, kejayaan itu juga membuktikan Terengganu memiliki skuad berkualiti dalam kalangan pemain dari Sekolah Sukan Bukit Nenas, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dan Pusat Akademi Sepaktakraw Terengganu (PASTA).

Kekuatan regu skuad bawah 20 tahun (B-20) juga menjadi faktor sambil didukung pasukan pelapis B-17 yang tidak jauh ketinggalan.

Mengakui turun dengan sasaran bergelar juara, Mohd Futra memuji semangat juang pasukannya yang menunjukkan kekentalan fizikal dan mental sepanjang dua hari kejohanan.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya berpuas hati dan yakin Terengganu mampu menyinar dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018, seterusnya mempertahankan kilauan pingat dalam acara berpasukan dan regu,” ujarnya lagi.