Astro Arena menjanjikan liputan menyeluruh Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan depan dengan lapan saluran televisyen dan empat platform digital, sekali gus menjadi liputan terbesar dalam sejarah penubuhan stesen itu sejak 2010.

Astro Arena merancang sesuatu yang menakjubkan selepas kejayaan liputan Sukan Olimpik Rio 2016.

Tumpuan lebih diberikan terhadap platfrom digital seperti Astro Go dan NJOI Now selaras dengan ledakan media sosial.

Kedua-dua aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma, sekali gus menyajikan peluang untuk menonton kehebatan atlet negara beraksi pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

"Setiap rakyat Malaysia dapat menyaksikan atlet-atlet Malaysia beraksi menerusi Astro Go dan NJOI," kata Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay.

Astro Arena turut memperkenalkan saluran berita Nadi Arena 800 dan 803HD untuk laporan berita terkini 24 jam.

"Saya telah beraksi dalam lima edisi Sukan SEA dan memenangi lima pingat emas tetapi penganjuran edisi ke-29 adalah yang paling komprehensif," kata bekas pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.