Perak Bison mengiringi Johor Tigris ke separuh akhir Emas Anuar Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STLCC) apabila mengungguli pertemuan kedua-dua pasukan itu dalam aksi terakhir Kumpulan A di Studio Iskandar Malaysia sebentar tadi.

Tigris, yang sudah mengesahkan kemaraan lebih awal hasil kemenangan 2-1 ke atas Terengganu Turtles semalam, tetap menurunkan barisan terbaik mereka demi memastikan kedudukan sebagai juara kumpulan berkenaan.

Segalanya tampak mengikut perancangan apabila gandingan Rattadech Noijaroen (tekong) Farhan Adam (pengumpan) dan Syahmi Syazwan Aziz (perejam) memenangi set pertama 21-16.

Bagaimanapun, Bison jelas lebih berkeinginan dalam dua set berikutnya untuk layak ke separuh akhir dengan kemenangan 21-8, 21-9.

Pun begitu, satu mata yang dicuri Tigris dalam perlawanan kali ini memastikan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan A tidak tergugat.

Dalam pada itu, aksi dalam Kumpulan B pula menyaksikan Penang Black Panthers dan Negeri Sembilan Antlers turut meneruskan kemaraan selepas menewaskan lawan masing-masing.

Black Panthers menjadi satu-satunya pasukan mengekalkan rekod bersih dalam saingan peringkat kumpulan STLCC musim ini apabila melakar kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan dengan menumbangkan Kuala Lumpur Thunder 2-0.

Kemenangan itu turut menyaksikan mereka menyingkirkan pasukan penuh bintang, KL Thunder, hasil keputusan 21-16, 21-12.

Mengiringi Black Panthers ke separuh akhir ialah Negeri Sembilan Antlers, yang mengesahkan kedudukan naib juara Kumpulan B dengan mengatasi PDRM Defenders 2-0.

Aksi separuh akhir akan menyaksikan Black Panthers akan bertemu Perak Bison manakala Tigris pula akan menghadapi Antlers di venue sama pada Jumaat ini.