Buat pertama kalinya Liga Sepak Takraw (STL) akan disajikan untuk peminat di Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Hong Kong.

Peminat di rantau ini bakal dihidangkan kempen Emas Anuar STL 2021/22 dari 7 Januari hingga 26 Mac 2022 di pelantar OTT global ELEVEN ELEVENSPORTS.com melalui perkongsian Astro dengan penyiar antarabangsa bagi perjanjian hak penyiaran eksklusif selama empat tahun dengan STL.

Ketua Sukan Astro, Nicholas John, berkata: "STL merupakan salah satu sukan pertama yang dilahir dan dikembangkan di Malaysia yang diiktiraf oleh penyiar antarabangsa dan ia akan dibawa bersama oleh pelantar sukan ELEVENSPORTS.com seperti menerusi Piala AFC 2022.

“Kami bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan penaja komited untuk memacu sukan tempatan ini dan berharap ia dapat memberi inspirasi kepada peminat sepak takraw baru di rantau ini.

"Memandangkan aksi STL akan menghiasi pentas global secara langsung, musim baru bakal menampilkan ulasan berbahasa Inggeris dan kami mengalu-alukan kehadiran pemain antarabangsa yang mampu menawarkan keunikan kepada sukan ini.

"Selain itu, peminat di Thailand akan disediakan dengan ulasan berbahasa tempatan dan menonton aksi pemain Thailand yang menyertai STL. Pada masa yang sama, atlet sepak takraw Malaysia kita juga akan mendapat manfaat daripada pendedahan antarabangsa di arena global."





Pengarah Urusan APAC di ELEVEN, Nick Wilkinson, menambah: "Kami berbesar hati untuk menambah tawaran kami di Asia Tenggara dan Hong Kong melalui STL.

"Misi kami adalah untuk menyampaikan perkhidmatan sukan yang dinamik kepada peminat dengan tawaran siaran langsung yang bercirikan tempatan. Sepak takraw adalah bahagian penting dalam rancangan ini dan kami teruja untuk membawanya kepada peminat mulai awal 2022."

Selain daripada negara yang disiarkan oleh ELEVENSPORTS.com, musim akan datang juga akan ditayangkan secara langsung di Amerika Syarikat melalui All Sports Television Network (ALL SPORTS).

Peminat di Malaysia boleh menonton semua aksi STL di Astro Arena (CH801) dan penstriman langsung di aplikasi Astro GO mulai Jumaat ini.