Tekong terbaik Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022, Meor Zulfikar, mengakui berminat atas kesungguhan Putrajaya Cyborg mendapatkan khidmatnya untuk saingan Piala Juara-Juara menjadi faktor utama kenapa dia memilih menyertai pasukan itu.

Menerusi perkongsian kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, Meor memaklumkan bahawa selain Cyborg, dia turut menerima lamaran daripada Melaka Titans serta Johor Tigris sebelum ini.

Menurut tekong kelahiran Kuala Kangsar itu, pengurusan Putrajaya Cyborg muncul pasukan terawal melamar dirinya ketika saingan minggu terakhir divisyen perdana di Ipoh baru-baru ini.

Meor, yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Universiti Putra Malaysia (UPM), tekad untuk membantu Cyborg dalam mengharungi saingan Kumpulan B yang menampilkan KL Thunder, Penang Black Panthers serta Melaka Titans.

Untuk rekod, Meor muncul antara watak penting Perak Bison yang memastikan pasukannya kekal dalam saingan divisyen perdana musim depan.