Johor Tigris membuktikan bahawa mereka antara pencabar kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Sabah Mountaineers di Stadium MABA, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharom itu berada dalam kondisi terbaik untuk mencabar kejuaraan liga selepas mencatat kemenangan kelima daripada enam perlawanan.

Berdepan pasukan yang terperosok di dasar liga dengan rekod tanpa sebarang kemenangan itu, bagaimanapun, bukan jaminan untuk mereka mengambil mudah.

Farid Aziz, yang ditugaskan sebagai tekong di samping Muqlis Borhan (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam), kekal menjadi senjata utama skuad dari selatan tanah air itu untuk memenangi set pertama 21-7.

Skrip itu mula berubah dalam set kedua dengan Mountaineers, yang dibimbing Effendy Malai, mula bangkit dengan corak permainan lebih kemas dengan mengejar mata demi mata sehingga terikat 9-9.

Tigris, yang sedar akan kebangkitan lawan, mula menekan dengan mencari sasaran lebih sukar yang nyata membuahkan hasil untuk menoktahkan cabaran Mountaineers 21-15.

Keputusan lain

NEGERI SEMBILAN ANTLERS 2 TERENGGANU TURTLES 0
PDRM DEFENDERS 1 KELANTAN WARRIORS 2
KL THUNDER 2 PERAK BISON 1