Penang Black Panthers gusar dengan perkhabaran bahawa Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) tidak membenarkan pemain mereka untuk bersaing dalam Liga Sepak Takraw (STL) bermula Jumaat ini.

Lebih parah, pemain yang terlibat juga berdepan risiko dikenakan denda sekiranya melanggar arahan yang dikeluarkan TAT.

Ia menyaksikan Black Panthers, yang merupakan juara keseluruhan edisi 2018, tidak dapat menggunakan khidmat Aekkasit Naphom selepas turut kehilangan perejam muda, Shahalril Aiman Halim, yang berpindah ke PDRM Defenders.

"Aekkasit masih tersenarai dalam pasukan Pulau Pinang, jadi kami masih menunggu sama ada dia boleh datang ke sini atau tidak," kata pengurus pasukan itu, Kyairil Ridzuan, kepada Astro Arena.

"Kerana berdasarkan makluman yang kami terima, hanya Thailand yang menyekat pemain-pemain mereka.

"Jadi, kami perlu menunggu untuk melihat sama ada Aekassit dapat menyertai kami atau tidak.

"Tetapi kalau diikutkan, Aekkasit tidak terlibat dengan skuad kebangsaan Thailand, jadi kami boleh membawanya pada bila-bila masa," katanya.