Naib juara Liga Sepak Takraw (STL) 2020, ATM Guardians, meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik menjelang musim baru.

Mereka berdepan cabaran tanpa kelibat tonggak utama, Hairul Hazizi Haidzir, selaku tekong terbaik Piala Juara-Juara STL musim lalu.

Hairul Hazizi masih dalam program rawatan daripada kecederaan lutut 'ACL', namun pihak pengurusan tertinggi ATM kekal optimis kekurangan itu mampu diisi rakan sepasukannya dengan sebaiknya.

"Buat masa ini, tekong utama kami masih dalam proses pemulihan.

"Kami harap Hairul Hazizi sempat pulih setidak-tidaknya untuk pusingan kedua.

"Memang satu cabaran yang sangat kuat buat pasukan kami, tapi inilah peluang untuk tekong yang lain kerana selama ini Hairul Azizi menjadi tunjang kami.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya kedudukan empat pasukan terbaik.," katanya ketua jurulatih ATM, Aswadi Abdullah.




Kepincangan itu diakui apit kiri, Norfaizzul Abd Razak, sambil menjanjikan saingan terbaik dalam kempen baru ini.

"Dua tonggak kami dalam rawatan dan dengan ketiadaan mereka, ATM mungkin kurang menyengat.

"Hairul Hazizi memiliki keistimewaan yang mampu mengundang kegerunan pasukan lawan."

Perlawanan minggu pertama pada 7 Januari depan akan melibatkan pertemuan di antara KL Thunder dengan Bomba Fighters sementara Putra Cyborg pula menentang ATM.