Persatuan Sepaktakraw Malaysia berdepan risiko pembatalan pendaftaran apabila Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengeluarkan notis tunjuk sebab bagi tujuan pembatalan persatuan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Persatuan itu diberikan tempoh 14 hari bekerja bermula 15 September lalu untuk menjawab surat berkenaan bagi menentang cadangan pembatalan pendaftaran PSM.

Menurut PJS, Ibrahim Mohd Yusof, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada PSM menjelang tarikh akhir pada Khamis ini.

"Kami sedang menunggu maklum balas daripada PSM," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Mereka masih belum dibatalkan (pendaftaran) lagi, ia cuma notis sahaja, notis cadangan pembatalan, masih belum dibatalkan.

"Kami akan menyemak sebab yang diberikan itu barulah ia akan dipertimbangkan.

"Setakat ini kami belum menerima apa-apa lagi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan kemelut di antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF)

KBS berharap agar peemasalahan itu dapat diselesaikan segera demi kelangsungan sukan sepak takraw di Malaysia.

"Untuk sepak takraw, saya akan pastikan ia dapat diharmonikan, malah saya akan melaporkan perkara ini kepada kabinet untuk memastikan ia tiada masalah," katanya.