Selepas Kelantan, Johor, Selangor, Terengganu dan Kedah, kini giliran Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP) menarik diri daripada menjadi sebahagian ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Persatuan itu mendakwa dianaktirikan badan induk berkenaan dan keputusan itu diambil kerana PSM didakwa gagal menangani konflik bersama Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Terdahulu, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, telah digantung selama 15 tahun oleh ASTAF dan badan induk negara itu juga digantung sementara sejak 28 April lalu.

Presiden PESTAP, Datuk Seri Khairudin Samad, berkata keputusan itu dibuat tanpa hasutan daripada mana-mana pihak dan ia diambil kerana sudah hilang kepercayaan kepada PSM.

Tambahnya, kemelut itu turut menjejaskan matlamat mereka untuk berganding bahu dengan persatuan negeri-negeri lain dalam misi memajukan sepak takraw negara.

"Sekarang ini, daripada segi teknikal, saya difahamkan bahawa jika perlembagaan sekarang dikekalkan, tidak mungkin ia dapat dilakukan kerana perlembagaan yang ada sekarang ini banyak berpihak kepada presiden sedia ada," kata Khairudin seperti yang dilaporkan Nadi Arena.

"Ini yang membuatkan banyak persatuan negeri tidak berpuas hati.

"Pesuruhjaya Sukan (PJS) mempunyai kuasa sama ada untuk memanggil kami bagi mesyuarat agung atau meminda perlembagaan sedia ada kerana itu hak PJS dan kami menghormatinya.

"Tetapi ini daripada segi teknikal, kalau banyak persatuan sudah keluar (PSM), PJS perlu melihat cara lain, sama ada menubuhkan persatuan baru atau hidupkan kembali dengan satu keputusan yang baik buat kesemua (ahli gabungan)," katanya.

Khairudin, dalam pada itu, turut mengesahkan bahawa PESTAP (Putrajaya Cyborg) telah menerima hadiah wang kemenangan selaku naib juara saingan Divisyen 1, Liga Sepak Takraw (STL).

"Hari ini saya dimaklumkan bahawa wang (hadiah kemenangan) sudah masuk dan selepas menyemak pesanan yang saya terima, memang ada cek yang dimasukkan ke dalam akaun PESTAP.

"Saya bersyukur kerana sudah menerima wang itu tetapi surat untuk menarik diri (daripada PSM) sudah dikeluarkan.

"Secara kebetulan, hari ini surat dikeluarkan, hari ini juga wang masuk.

"Daripada segi wang itu saya bersyukur, Alhamdulillah, tetapi daripada segi surat yang sudah dikeluarkan itu, saya mohon maaf, ia tidak boleh ditarik balik," tambahnya.