Regu Jeli ‘A’ membuktikan kehebatan apabila muncul juara mengalahkan regu Kota Bharu ‘A’ dalam final Kejohanan Sepak Takraw Luar Musim, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) di Wisma Sukan, Jalan Telipot, Kota Bharu, petang tadi.

Jeli ‘A’, yang diwakili Muhammad Noor Alif Nor Azani , Irfan Mahazan dan Iqbal Hakimi, beraksi dengan cemerlang apabila mendahului 15-8 sebelum Kota Bharu ‘A’ bangkit mengejar. Namun, beberapa kesilapan mudah membolehkan Jeli menang set pertama 21-15.

Dalam set kedua, Kota Bharu ‘A’ yang diwakili Muhammad Anas Salahuddin , Ahmad Danial Adam dan Muhammad Nor Aiman cuba bangkit untuk menang, namun regu Jeli ‘A’ terus beraksi cemerlang untuk menang 21-12.

Penyelia Sukan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Juliyaiza Husain, mengucapkan syabas kepada kedua-dua pasukan yang berjaya menunjukkan aksi terbaik.

"Tahniah kepada Jeli ‘A’ yang beraksi dengan penuh semangat petang ini untuk mengecewakan Kota Bharu dalam final.

“Kami (Kota Bharu) akan cuba memburu kejuaraan bawah 11 dan 14 pula selepas ini,” katanya.

Juliyaiza juga berharap pemain yang dipilih melalui pertandingan luar musim ini terus meningkatkan kemahiran apabila diserapkan dalam Kem Libasan Emas, hujung bulan ini.

"Kami mencari pemain pelapis (bawah 10, 11 dan 14) yang akan diserapkan dalam Kem Libasan Emas anjuran Unit Sukan JPN Kelantan,” katanya.

Terdahulu, di peringkat separuh akhir, Kota Bharu ‘A’ menyingkirkan Kota Bharu ‘B’ 2-0 ( 21-15, 21-18) manakala Jeli ‘A’ menyingkirkan Machang ‘A’ 2-0 (21-15, 21-19).