Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berbangga atas usaha yang dilakukan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan pihak penaja dalam menganjurkan Kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL).

Ditemui selepas penyampaian yang menyaksikan Perak Bison mendominasi Emas Anuar Challenge Cup malam tadi, Hannah juga dalam kesempatan itu mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan atas kejayaan meraih tempat kedua dalam Kejohanan Piala Raja Thai, minggu lalu.

"Syabas dan tahniah kepada PSM atas penganjuran kejohanan sepak takraw pada tahun ini.

"Kejayaan sesebuah sukan juga banyak bergantung kepada penganjur dan penonton.

"Saya gembira bahawa STL cukup popular dalam kalangan penonton dan saya lihat masih ada ruang untuk penambahbaikan dan berharap setiap tahun terus ada penambahbaikan," katanya di Stadium Titiwangsa malam tadi.