Negeri Sembilan Antlers mencipta sejarah untuk menjuarai Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) Champions Cup buat pertama kali selepas menidakkan cabaran Perak Bison dengan straight set, sebentar tadi.

Perak Bison yang menjejak kaki di pentas final buat kali kedua selepas edisi 2017 mempertaruhkan Aidil Aiman, Noraizat Nordin dan tekong import mereka, Jakkrit Tinbambon, untuk memulakan aksi di Iskandar Malaysia Studios itu dengan sangat agresif dan meninggalkan Antlers 11-8.

Begitupun, Antlers -- yang mencipta kejutan ketika mengatasi Johor Tigris dalam aksi separuh akhir semalam -- membariskan Syazreen Qamar, Hafizul Hayazi dan tekong terbaik mereka, Haziq Nizam, kembali menyusun rejaman padu untuk mendahului saingan dan membolot set pertama 21-15.






Skrip set kedua menjadi semakin rancak terutama dalam Bison yang tentunya ingin mengheret saingan ke set ketiga hingga mengejar 18-19.

Namun, usaha mereka dihampakan dengan beberapa kesilapan mudah dan servis yang kurang kemas daripada Jakkrit memberi mata kemenangan mudah buat Antlers.




Ini juga merupakan kali ketiga juara kedua-dua kejohanan utama STL iaitu Liga Premier dan Champions Cup dimenangi dua pasukan berbeza.

Sementara itu, Penang Black Panthers mengubat duka dengan menjamin tempat ketiga selepas mengalahkan Johor Tigris juga dengan straight set.