Negeri Sembilan Antlers menghangatkan saingan Kumpulan B, Emas Anuar Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STLCC) apabila menumbangkan Kuala Lumpur Thunder 2-0 di Studio Iskandar Malaysia, Johor sebentar tadi.

KL Thunder, yang membuka kempen STLCC dengan kemenangan 2-0 ke atas PDRM Defenders semalam, merupakan pasukan pilihan selepas bergelar naib juara divisyen perdana Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Bagaimanapun, Antlers, yang menurunkan Haziq Hairul Nizam (tekong), Shazreenqamar Salehan (pengumpan) dan Hafizul Hayazi Adnan (perejam), membuktikan rekod di atas kertas itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk mencatatkan kemenangan tipis 21-19 dalam set pertama.

Barisan pemain bintang KL Thunder, yang terdiri daripada Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Khairol Zaman Hamir Akbar (perejam), jelas tidak lagi mampu bertahan dalam set kedua, sekali gus memberikan Antlers kemenangan dalam aksi pertama mereka dengan keputusan 21-10.

Terdahulu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Penang Black Panthers turut membuka kempen dengan kemenangan apabila mengatasi Defenders 2-0 petang tadi.

Kejayaan itu menyaksikan KL Thunder, Antlers dan Black Panthers berkongsi kedudukan teratas, masing-masing dengan mengumpulkan dua mata.

Aksi tunggal Kumpulan A hari ini pula menyaksikan ATM Guardians mengatasi Terengganu Turtles 2-0 hasil kemenangan 21-18, 21-13.

Ia merupakan kemenangan pertama Guardians selepas tewas 0-2 kepada Johor Tigris semalam.