Penang Black Panthers muncul pendahulu Kumpulan B saingan Emas Anuar Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STLCC) apabila mengatasi Negeri Sembilan Antlers 2-0 dalam perlawanan di Studio Iskandar Malaysia, Johor sebentar tadi.

Selepas mengatasi PDRM Defenders dalam aksi pertama mereka semalam, Black Panthers meneruskan momentum kemenangan itu untuk kini muncul satu-satunya pasukan belum pernah tewas dalam kumpulan berkenaan.

Membariskan Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong), Zaim Razali (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam), regu permulaan Penang itu mengatasi saingan sengit Antlers sebelum meraih kemenangan 25-23 dalam set pertama.

Antlers, yang turut membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas KL Thunder semalam, cuba mengheret saingan ke set penentuan tetapi terpaksa akur melepaskan kedudukan teratas kepada Black Panthers selepas tewas 17-21 dalam set kedua.

Dengan kemenangan itu, Black Panthers mencerahkan peluang untuk ke separuh akhir dengan mengumpulkan empat mata sambil Antlers dan KL Thunder menyusul di belakang dengan dua mata.

Keputusan Kumpulan A:
ATM GUARDIANS 0 PERAK BISON 2
TERENGGANU TURTLES 1 JOHOR TIGRIS 2