Tekong dari Thailand, Siwatbanchan Seekhwa, terus memacu kebangkitan Johor Tigris dalam separuh kedua saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) dengan menewaskan juara bertahan, Kuala Lumpur Thunder, 2-1 di Kompleks Sukan Panji, Kota Bharu sebentar tadi.

Selepas terperosok dalam kelompok bawahan liga musim ini, kehadiran tekong Thailand itu jelas memacu kebangkitan yang cuba direncanakan pasukan selatan tanah air itu untuk merekodkan dua kemenangan berturut-turut minggu ini.

Siwatbanchan, yang diapit oleh Muqlis Borhan (pengumpan) dan Nur Haziq Nor Ali (perejam), melakukan 11 servis ace dalam penentuan kali ini untuk memastikan kemenangan keenam daripada 13 perlawanan buat pasukannya, sekali gus semakin menghindari kelompok bawahan liga.

Bagaimanapun, barisan bintang Thunder, yang terdiri daripada Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam), bermula lebih unggul untuk memenangi set pertama 21-18.

Set kedua berlangsung dengan lebih sengit, di mana tekong kedua-dua pasukan kelihatan bersaing memperagakan servis terbaik mereka sebelum Tigris menang 22-20 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi penentuan jelas menjadi milik Tigris untuk pasukan Johor itu melakarkan kemenangan selesa 21-11.



Keputusan lain:
Negeri Sembilan Antlers 2 Perak Bison 1
Putrajaya Cyborg 1 Penang Black Panthers 2
Kelantan Warriors 0 Selangor Pistons 2