Selangor Pistons menafikan hajat Johor Tigris untuk membuka langkah kanan dalam musim kelapan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kegusaran barisan pimpinan Muqlis Borhan kerana ketiadaan pemain import dari
Thailand, Swatbanchan Seekhwa, dalam awal saingan kali ini tetap menaruh harapan, namun masih belum cukup untuk menyekat keampuhan Selangor yang turun dengan mempertaruhkan gandingan campuran termasuk pemain paling senior, Farhan Adam, 33.




Set pertama bermula garang yang menyaksikan perebutan mata yang sengit dengan satu pertukaran berlaku untuk Selangor di penghujung set apabila memasukkan tekong muda, Zuuhri Zain, tetapi ia tidak menghalang Johor untuk mendominasi set pertama 21-19.

Set kedua bermula dengan lebih tersusun dan sistematik apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata sebelum Selangor mendapat rentak untuk menerajui permainan 11-6 sebelum menang 21-17.

Selangor menyerlahkan keupayaan sebenar dalam set penentuan walaupun terpaksa memasukkan Aiman Yusman di bahagian tekong tetapi ia tidak menghalang mereka untuk menang 21-5.