Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Astro mengambil inisiatif memperkenalkan Kejohanan Piala Cabaran bagi merancakkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim 2023 bermula 26 Mei ini.

Perkara itu disahkan Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, yang percaya kewujudan kejohanan itu akan meningkatkan lagi prestij dan kualiti pertandingan berkenaan bagi edisi kesembilan tahun ini.

Sumali berharap peminat sukan tradisi itu akan terus memberikan sokongan dan hadir beramai-ramai ke semua venue jelajah itu di Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, antaranya.

Sumali berkata kepada Astro Arena: "Kami sudah mengadakan perbincangan dalam Mesyuarat Tertinggi PSM untuk mengadakan Piala Cabaran dan ada juga hadiah wang tunai.

"Ia akan menjadikan saingan STL lebih menarik kerana ada tiga piala, iaitu juara liga STL, Piala Cabaran selepas tamat saingan liga dan yang terakhir, Piala Juara-Juara STL.

"Piala Cabaran akan menyaksikan empat pasukan terbaik STL akan bermain pada hari terakhir melibatkan saingan separuh akhir dan final.

"Bagi saingan Piala Juara-Juara STL pula, kami akan melakukan sedikit kelainan dengan empat pasukan terbaik divisyen perdana akan bersaing dengan empat pasukan jemputan dari luar negara," katanya.