Selangor Pistons mencipta kejutan terbesar dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila menamatkan rekod tanpa kalah pendahulu liga, ATM Guardians, dengan kemenangan 2-0 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Guardians sebelum ini tidak pernah kalah dalam tujuh perlawanan lalu untuk selesa berada di tangga teratas tetapi kali ini, mereka terpaksa menerima hakikat kekebalan itu tidak lagi boleh dicanang.

Lebih memeritkan buat pasukan Angkatan Tentera itu, mereka melepaskan enam mata akhir dalam set pertama sewaktu mendahului 20-14 untuk akur dengan kebangkitan luar biasa Pistons -- yang dipacu variasi servis Zuhri Zain dan libasan menarik perejam gantian, Amirul Syafiq Samudin -- sebelum menang 22-20.

Mengekalkan barisan pemain sama yang diketuai pengumpan veteran, Farhan Adam, Pistons jelas berada di tahap lebih baik untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 21-14, sekali gus meraih mata keenam daripada lapan perlawanan musim ini.

Guardians pula masih boleh menghela nafas lega apabila kedudukan mereka di tangga teratas tidak tergugat selepas pencabar terdekat, Kuala Lumpur Thunder, turut tewas kepada Putrajaya Cyborg dalam satu lagi perlawanan.