Selangor Pistons bangkit daripada kekalahan satu set untuk menewaskan Bomba Fighters 2-1 dalam aksi hari ketiga Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Pistons, yang dibarisi pemain muda, Zuhri Zain (tekong), Arif Badri (pengumpan) dan Amirul Syafiq Samudin (perejam) menampilkan aksi menarik dalam set pertama tetapi beberapa kesilapan sewaktu memegang servis menyaksikan Fighters memanfaatkan sepenuhnya peluang itu untuk menang 21-18 dalam set pertama.

Gusar dengan kekalahan itu, pengurus Pistons, Syahril Rashid, mengambil keputusan untuk memasukkan pengumpan veteran, yang merangkap ketua pasukan, Farhan Adam, dan percaturan itu ternyata berhasil memberikan mereka kemenangan 21-16 dalam set kedua.

Selangor jelas pasukan yang lebih baik dalam set penentuan menerusi mata-mata mudah yang diperoleh hasil kelonggaran pertahanan lawan untuk memperoleh kemenangan kedua daripada tiga perlawanan musim ini menerusi keputusan 21-12 dalam set berkenaan.

Ia kemenangan yang cukup penting buat Pistons memandangkan mereka akan menghadapi dua pasukan gergasi, Penang Black Panthers dan KL Thunder, sepanjang hujung minggu ini.

A post shared by SepakTakraw League (STL) (@stl.my)



Keputusan lain:
Johor Tigris 0 Putrajaya Cyborg 1 (16-21, 17-21)
KL Thunder 1 Penang Black Panthers 2 (20-22, 21-18, 16-21)
Perak Bison 0 ATM Guardians 2 (20-22, 13-21)