Perak Bison dan Penang Black Panthers terus menghambat kedudukan pendahulu liga, Kuala Lumpur Thunder, selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi ke-15 Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa hari ini.

Bison terlebih dahulu tidak berdepan masalah untuk menewaskan ATM Guardians 2-0.

Membariskan tekong import, Jakkrit Thinbangbon, yang diapit Asyraaf Abd Hadi (pengumpan) dan Madzrul Aziq Mat Tahir (perejam), Bison mempamerkan aksi dominan sebelum mencatatkan kemenangan 21-13, 21-16.

Black Panthers, bagaimanapun, melalui cabaran berbeza sebelum menoktahkan perlawanan menentang Bomba Fighters dengan kemenangan 2-1.

Membariskan Faisal Fuad (tekong), Mongkhon Pattawong (pengumpan) dan Haikal Jamil (perejam), Penang dikejutkan dengan kekalahan 17-21 dalam set pertama.

Akan tetapi, kemasukan perejam utama, Aekasit Naphom, dan Zaim Razali (pengumpan), jelas mengubah cara permainan Black Panther untuk memenangi dua set berikutnya 21-16, 21-14.

Kedudukan terkini menyaksikan Bison berada di tangga kedua liga dengan 22 mata dan hanya dibezakan dua mata dengan KL Thunder, sambil Black Panthers pula berada di tangga ketiga dan hanya dibezakan himpunan perbezaan pungutan mata dengan Bison.