Perak Bison pantas melupakan kekalahan selepas membuka langkah sumbang dalam Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) apabila menjadikan Putrajaya Cyborg sebagai mangsa kebangkitan, hari ini.

Bagaimanapun, mereka sekali lagi terpaksa berhempas-pulas untuk menidakkan cabaran seteru sebelum menang 2-1 dalam pertembungan minggu pertama di Stadium Titiwangsa itu.

Servis berbisa daripada Meor Zulfikar Mat Amin khususnya memberi kemenangan 21- 17 dalam set pertama apabila kerap memerangkap lawan, tetapi ia belum cukup untuk menyekat Putrajaya daripada merampas set kedua dengan keputusan sama.

Perak kemudian mengubah percaturan di bahagian tekong dengan mempertaruhkan pemain Thailand, Anuwat Sombatdee.

Permainan kembali seimbang dengan Anuwat lebih bijak di penghujung permainan untuk meraih mata-mata penting sebelum menang 21-19.




Sementara itu, Kelantan Warriors yang menyaksikan Zulkifli Abdul Razak menggalas tugas di bahagian tekong mudah mengatasi Johor Tigris 2-0, sekali gus melonjak ke tangga kedua.

Bomba Fighters pula masih belum mampu menggugat keampuhan Penang Black Panthers yang menang mudah 23-21, 21-17.

Dalam perlawanan terakhir malam ini, Negeri Sembilan Antlers memanfaatkan kelebihan tekong gantian, Hisham Mat, untuk mencipta kemenangan dalam aksi tiga set.

Begitupun, Selangor Pistons terlebih dahulu menemui rentak untuk kemenangan 21-15 dan mereka begitu hampir memuktamadkan kejayaan bagi mengulangi keputusan semalam.

Namun, kemasukan Hisham selain kesilapan sendiri menjerat barisan kurang berpengalaman Selangor apabila Negeri Sembilan mengheret permainan ke set penentuan selepas menang 21-18.

Mereka kemudian mengekalkan rentak kemas itu untuk merangkul kemenangan 21-10.