Penampilan pertama tekong dari Thailand, Siwatbanchan Seekhwa, berhasil membantu Johor Tigris mengatasi Perak Bison dalam aksi tiga set perlawanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Kompleks Sukan Panji, Kota Bharu sebentar tadi.

Diapit Muqlis Borhan (pengumpan) dan Nur Haziq Norali (perejam), Siwatbanchan mempamerkan servis terbaiknya untuk memastikan Tigris mengatasi saingan sengit Bison sebelum menang tipis 25-23 dalam set pertama.

Bagaimanapun, Bison, yang dibarisi Meor Zulfikar Mat Amin (tekong), Asyraaf Hadi (pengumpan) dan Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi (perejam), mempamerkan aksi lebih kemas untuk memenangi set kedua 21-16, sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan.

Tigris kemudian memastikan kemenangan kelima daripada 12 perlawanan musim ini selepas berhasil menguasai sepenuhnya set ketiga sebelum menang 21-13.

Kemenangan itu sudah pasti melonjakkan semangat pasukan selatan tanah air itu untuk keluar daripada zon penyingkiran dan seterusnya kekal dalam divisyen perdana musim depan.



Keputusan lain:
Bomba Fighters 2 Selangor Pistons 1
Kelantan Warriors 0 KL Tunder 2
ATM Guardians 2 Negeri Sembilan Antlers 0