Selepas tewas kepada ATM Guardians minggu lalu, Kuala Lumpur Thunder kini meletakkan misi wajib menang dalam tiga perlawanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) minggu ini.

Thunder bermula baik apabila menewaskan Bomba Fighters 21-17, 21-14 pada Jumaat lalu tetapi sehari kemudian, pasukan juara bertahan itu dikejutkan dengan kekalahan 14-21,11-21 kepada Guardians.

Ia menyaksikan mereka kini berada di tangga keenam dengan satu kemenangan dan satu kekalahan, sekali gus memaksa pasukan bimbingan Rashidi Nordin itu meletakkan misi wajib menang dalam ketiga-tiga perlawanan minggu ini.

Cabaran Thunder akan bermula dengan menentang Penang Black Panthers malam esok sebelum bertemu Perak Bison dan Selangor Pistons.

Rashidi, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, berkata: "Persembahan KL Thunder dalam minggu pertama memang bermula dengan sedikit perlahan.

"Perlawanan dengan Bomba Fighters, walaupun kami menang tetapi daripada segi persembahan, ia agak sederhana.

"Pada hari kedua, apabila kami bertemu ATM Guardians, rentak permainan ada sedikit meningkat tetapi kekuatan yang dimiliki Guardians pada hari itu membolehkan mereka menang.

"Oleh itu, kami mengadakan perbincangan dan sesi bedah siasat selepas perlawanan mengenai apa yang harus kami perbaiki untuk menghadapi perlawanan minggu kedua ini.

"Saya lihat, kami tidak memerlukan rombakan besar-besaran dan perlu mengekalkan apa yang kami ada, namun perlu mengenal pasti kelemahan kerana ia perkara utama.

"Kami perlu mengatasi kelemahan agar kesilapan mudah yang kami lakukan sebelum ini tidak berulang," katanya.