KUALA LUMPUR THUNDER 2 SABAH MOUNTAINEERS 1

Kuala Lumpur Thunder kembali ke landasan kemenangan untuk sekal lagi menerajui kedudukan teratas Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) apabila menewaskan Sabah Mountaineers 2-1 dalam aksi minggu terakhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Selepas tewas kedua-dua perlawanan minggu lalu, masing-masing kepada Johor Tigris dan Perak Bison, KL Thunder tergelincir ke tangga kedua berdasarkan perbezaan set kemenangan dengan Bison.

Bagaimanapun, dengan kembalinya regu utama, Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam), yang sebelum ini memperkuatkan skuad negara dalam Kejohanan Dunia King's Cup minggu lalu, KL Thunder cemerlang meraih kemenangan 21-9 dalam set pertama.

Sedikit tentangan diberikan Mountaineers untuk mengikat kedudukan dengan memenangi set kedua 21-19 tetapi KL Thunder kembali mempamerkan aksi terbaik mereka dalam set penentuan untuk menang 21-16.

KL Thunder seterusnya akan menghadapi ATM Guardians dalam perlawanan terakhir liga pada Sabtu ini sebelum saingan Piala Cabaran STL membuka tirai sehari kemudian.

Mereka akan mengharapkan Sabah untuk menewaskan pencabar terdekat, Bison, dalam perlawanan esok bagi mencerahkan peluang bergelar juara divisyen perdana.

Keputusan lain:
MELAKA TITANS 2 ATM GUARDIANS 0
JOHOR TIGRIS 2 BOMBA FIGHTERS 0