ATM Guardians mengesahkan kejuaraan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) dalam minggu ketujuh di Spice Arena, Pulau Pinang, petang tadi.

Begitupun, Johor Tigris menjelmakan cabaran getir buat mereka sebelum berhasil mengulangi kejayaan edisi 2015 apabila perlawanan berlanjutan selama tiga set.

Permainan terpaksa ditentukan dalam set penentuan berikutan aksi awal memihak pasukan dari selatan itu 21-19 disusuli kemenangan Guardians 21-9.

Malah, kemenangan terpaksa ditentukan dalam dius yang menyaksikan Guardians mempamerkan permainan lebih tangkas.

Tatkala Tigris sudah meraikan kemenangan ketika di kedudukan 20-22, 'challenge' akhirnya memihak lawan berikutan kaki pelibas, Nur Haziq Norali, dikesan sudah melepasi jaring ketika cuba menghadang bola yang kemudian jatuh ke kawasan lawan.

Tekong Guardians, Hairul Hazizi Haidzir, memanfaatkan dua servisnya dengan 'ace' untuk membawa ke mata akhir sebelum kemenangan disudahkan menerusi rejaman Afifuddin Razali 24-22.

"Saya cuba membalas kepercayaan jurulatih walaupun tidak dapat berlatih sepanjang minggu ini.

"Jurulatih berpesan saya menggunakan apa sahaja (kemahiran) yang ada untuk meraih kemenangan," kata Hairul Hazizi.





Skuad bimbingan Aswadi Abdullah itu menguasai puncak dengan 24 mata tidak lagi boleh digugat pencabar terdekat, Kuala Lumpur Thunder, yang mengumpul 16 mata.

Thunder berputih mata apabila tersungkur dalam aksi tiga set.

Mereka yang mengetengahkan Redwan Hakim sebagai pelibas menang 21-17 sebelum gagal mengulangi rentak sama apabila kecuncang 11-21, 19-21 kepada Selangor Pistons.

Bomba Fighters pula tidak berhasil menjarakkan kedudukan di dasar saingan perdana itu apabila kekal di tangga kelapan apabila tewas kepada Putrajaya Cyborg 17-21, 21-14, 13-21 sebentar tadi.