Bomba Fighters terjerumus ke kancah Divisyen 1 musim depan selepas tewas 0-2 kepada Penang Black Panthers dalam perlawanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Kekalahan itu juga menyaksikan Fighters menamatkan saingan musim ini dengan sekadar memungut 12 mata daripada 18 perlawanan dan dipintas Perak Bison -- yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan -- dengan perbezaan set dan pungutan mata lebih baik

Aksi di Ipoh menyaksikan Fighters pada awalnya seakan mampu memberikan saingan buat Black Panthers tetapi siri kesilapan daripada tekong, Al Hafiz Isa, dan rejaman gulung kencang tonggak lawan, Aekasit Naphom, menyaksikan mereka tewas 15-21.

Mereka kemudian gagal mendapatkan rentak terbaik dalam set kedua, sekali gus terpaksa akur tewas mudah 5-21.

Dalam perlawanan terdahulu, Bison menghidupkan peluang untuk kekal dalam Divisyen Perdana selepas mengejutkan Putrajaya Cyborg dengan kemenangan 2-1.

Kekalahan Fighters kepada Black Panthers juga menyaksikan Bison boleh lebih tenang menghadapi pasukan tercorot, Kelantan Warriors, dalam aksi terakhir mereka malam esok.

Kedudukan terkini: