Muhammad Faizal Zainal Abidin menggalas tanggungjawab berat sebaik sahaja mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih ATM Guardians untuk Kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim 2022/2023 yang bakal membuka tirai di Kuala Kangsar, Perak, Jumaat ini.

Faizal diberikan peranan baru bersama pasukan selepas pengendali terdahulu, Aswadi Abdullah, berhijrah menyertai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

Jelasnya, bukan mudah untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan Aswadi memandangkan saingan STL musim ini dilihat lebih mencabar dengan pencabar diperkuatkan tenaga import berkualiti.

Untuk rekod, ATM Guardians yang menggunakan tenaga pemain tempatan sepenuhnya merupakan juara bertahan STL 2021/2022 selain tiga kali muncul naib juara dalam edisi 2018, 2019 serta 2020.

"Saya rasa agak berat untuk membawa ATM pada tahun ini sebab kita tahu ATM adalah juara.




"Untuk kekalkan kejuaraan agak sukar cuma saya harap kami dapat buat yang terbaik dan kejutan.

"Ramai pemain import dalam edisi kali ini tetapi saya juga pernah mewakili pasukan yang dibarisi pemain tempatan.

"Saya harap sekali lagi ATM boleh buat kejutan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.