ATM Guardians terus mencengkam persada Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) apabila mudah mengetepikan cabaran Johor Tigris dalam satu-satunya perlawanan yang berkesudahan straight set di Stadium Titiwangsa, hari ini.

ATM tidak menghadapi masalah besar ketika menghadapi lawan dari selatan itu yang kerap melakukan kesilapan sendiri sebelum tersungkur 9-21, 13-21 untuk menduduki tangga tercorot.

Saingan di antara Kelantan Warriors dan Negeri Sembilan Antlers petang tadi yang melibatkan aksi tiga menjadi perlawanan paling menarik hari ini.

Biarpun set pertama terlebih dahulu menjadi milik Kelantan, Negeri Sembilan bangkit mengatur gerakan selain beberapa pertukaran pemain khususnya di posisi tekong dan perejam membuahkan hasil.

Kelantan sebaliknya gagal mengekalkan tempo kemenangan 21-18 sebaik pasukan lawan yang dikemudi Shahir Nasrudin itu mendapat rentak untuk mengheret permainan ke set penentuan ekoran menang dengan keputusan yang sama.

Negeri Sembilan nyata menyerlah terutama melalui libasan Hafizul Hayazi Adnan untuk memuktamadkan kejayaan 2-1 menerusi kemenangan 21-14.

A post shared by SepakTakraw League (STL) (@stl.my)



Kuala Lumpur Thunder pula mengetepikan kekalahan kepada Penang Black Panthers, semalam, dan kali ini mempertaruhkan Aizat Nor Azmi -- yang menyambut hari lahirnya hari ini -- di posisi tekong.

Bagaimanapun, ia sama sekali tidak menjadi batu penghalang buat mereka untuk melakar kemenangan 25-24, 13-21, 21-16 ke atas Perak Bison.

Sementara itu, Penang kekal dengan misi meraih kemenangan sempurna dalam minggu kedua STL dengan menjadikan Selangor Pistons sebagai mangsa seterusnya.

Walaupun dikejutkan dengan kemenangan lawan dalam set kedua, mereka tetap tenang untuk melakar keputusan 21-16, 13-21, 21-7.