KL Thunder memulakan saingan minggu ketujuh Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) dengan langkah kiri apabila barisan muda mereka dibelasah Johor Tigris menerusi aksi straight sets.

Johor ternyata menggunakan kesempatan yang ditawarkan KL Thunder untuk meraih kemenangan mudah ini.

Set pertama memperlihatkan betapa rasa gugup pemain-pemain muda KL memberikan kelebihan buat Johor menguasai sepenuhnya gelanggang di Stadium Titiwangsa itu.

Loesak Kuram selaku perejam, Aizat Mohd Norazmi di posisi tekong dan Wan Nor Hanif sebagai feeder, KL terpaksa menelan hakikat mereka tewas mudah di set pertama 21-5.

Ia jurang yang nyata terlalu besar untuk pasukan sehebat KL Thunder, namun itulah hakikatnya -- set kedua juga seakan tiada tanda kebangkitan buat KL sebaliknya Johor mengekalkan momentum terus meraih mata demi mata.

Akhirnya KL Thunder terpaksa akur dengan kekalahan 21-9 sekaligus jadi kekalahan terbesar mereka setakat ini.