ATM Guardians mengekalkan penguasaan di tangga teratas Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) selepas mengatasi saingan sengit Bomba Fighters untuk menang 2-1 di Kompleks Sukan Panji, Kota Bharu sebentar tadi.

Dengan menurunkan trio terbaik yang dibarisi Adam Aiman Zainol (tekong), Norfaizzul Abd Razak (pengumpan) dan Afifuddin Razali (perejam), pasukan pendahulu itu mudah memenangi set pertama 21-14.

Bagaimanapun, gandingan Al Hafiz Isa (tekong), Adli Abu Bakar (pengumpan) dan pemain import dari Thailand, Rusdee Leerem (perejam), berhasil merencanakan kebangkitan buat Fighters dengan kemenangan 21-16 dalam set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi dalam set ketiga berlangsung cukup sengit dengan siri variasi servis dan libasan kencang daripada kedua-dua pasukan sehingga mata terikat 19-19 tetapi Guardians unggul memenangi dua mata terakhir untuk bergelar pemenang.

Kemenangan itu menyaksikan Guardians terus gah di persada STL dengan 24 mata daripada 14 perlawanan.

Keputusan lain:
Penang Black Panthers 2 Kelantan Warriors 0
Selangor Pistons 2 Putrajaya Cyborg 1