Bomba Fighters berisiko terjerumus ke saingan Divisyen 1 selepas tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur Thunder dalam perlawanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Dalam pertemuan itu, perejam Thunder, Azlan Alias -- yang dibantu Syahir Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) -- membuktikan betapa dia lebih baik daripada perejam Thailand milik Fighters, Rusdee Leerem, dengan variasi libasan menariknya.

Kedua-dua regu mempamerkan aksi rancak dalam set pertama tetapi Thunder lebih unggul untuk menang 21-18.

Dalam set kedua, Fighters yang turut diperkuatkan Al Hafiz Isa (tekong) dan Shohibul Fadillah Abd Salam (pengumpan) kembali memberikan saingan dengan mendahului pada pertengahan aksi tetapi Azlan kerap menjadi penyelamat mata-mata Thunder untuk bangkit menamatkan perlawanan dengan keenangan 21-17.

Kekalahan terbaru itu menyaksikan Fighters kekal terperangkap di tangga kelapan STL dan hanya dibezakan dua mata daripada zon penyingkiran ke Divisyen 1.



Keputusan lain:
ATM Guardians 2 Putrajaya Cyborg 1
Negeri Sembilan Antlers 2 Penang Black Panthers 1
Johor Tigris 2 Selangor Pistons 1