Putrajaya Cyborg meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) apabila menumbangkan pasukan pilihan, Kuala Lumpur Thunder, 2-1 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Kemenangan keenam Cyborg itu turut menamatkan rentetan lima kemenangan berturut-turut Thunder selepas sembilan perlawanan, sekali gus menjadikan perebutan tiga tempat teratas kian menarik menjelang separuh pertama musim ini -- kedua-dua pasukan kini terikat 12 mata.

Membariskan Farid Abdul Aziz (tekong), Suhairi Sulaiman (pengumpan) dan Amar Putra Rohaimee (perejam), pasukan Putrajaya itu ternyata berada dalam prestasi terbaik apabila hanya memerlukan 27 minit untuk menang 21-16 dalam set pertama.

Bagaimanapun, Thunder yang dibarisi pemain bintang seperti Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Hanafiah Dolah (perejam) bangkit untuk menang 21-13 dalam set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan.

Aksi penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berkejaran mata tetapi Cyborg jelas pasukan yang lebih baik pada penghujung perlawanan, sekali gus menamatkan saingan selama sejam dan 27 minit itu dengan kemenangan 21-16 dalam set ketiga.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan Keenam Cyborg musim ini, di mana mereka turut menewaskan Kelantan Warriors 2-1 semalam.