Kelantan Warriors berdepan kekalahan kelima dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini selepas tunduk 1-2 kepada Putrajaya Cyborg di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Membariskan tekong kidal, Farid Abdul Aziz, yang diapit Suhairi Sulaiman(pengumpan) dan Muslim Ramli (perejam), Cyborg, bagaimanapun, tidak berdepan laluan mudah apabila tewas tipis 19-21 dalam set pertama.

Namun, Warriors yang diperkasakan tekong pengalaman, Zulkifli Abdul Razak, selain Nik Muhammad Afiq Mazlan (pengumpan) dan Eqbal Shamsudin (perejam) tidak dapat mengekalkan momentum untuk akur dengan kekalahan 12-21 dalam set kedua, sekali gus terpaksa beraksi dalam babak penentuan.

Aksi dalam set ketiga ternyata lebih sengit, di mana Cyborg melepaskan dua mata akhir sebelum mengesahkan kemenangan 21-19.

Cyborg seterusnya akan menghadapi Kuala Lumpur Thunder dalam perlawanan kesembilan malam esok manakala Warriors pila berpeluang menebus kehampaan hari ini dengan menentang pendahulu liga, ATM Guardians, sehari kemudian.



Keputusan lain:
Penang Black Panthers 0 ATM Guardians 2
Negeri Sembilan Antlers 0 Kuala Lumpur Thunder 2