Bomba Fighters menemui langkah kanan apabila melakar tiga kemenangan berturut-turut pada minggu kelima saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 susulan menewaskan Perak Bison 2-1 sebentar tadi.

Mengatasi Penang Black Panthers Jumaat lalu dan Johor Tigris semalam, skuad kendalian Ahmad Mohd Zin dipaksa berkerja keras sebelum melakar kemenangan 17-21, 21-11, 21-18 kepada Perak.

Kehadiran pemain import dari Thailand, Rusdee Leerem, menjadi tunjang di sebalik impak besar kepada juara Divisyen 1 itu yang kembali mempamer aksi mantap selepas bergelut mencari rentak dalam saingan awal Divisyen Perdana.

Walaupun baru sahaja bersama Bomba, Rusdee berjaya menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan-rakan sepasukan, malah membantu mereka mengharungi jadual perlawanan padat.

Kemenangan sebentar tadi menyaksikan Bomba kini mengumpul 10 mata dan berjaya keluar daripada kelompok bawahan liga.

Sementara itu, Putrajaya Cyborg terus membuat Kelantan Warriors berputih mata susulan kemenangan 2-0 dalam saingan Divisyen Perdana saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kelantan yang turun tanpa khidmat tekong kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abd Razak, Kelantan bagai kehilangan senjata utama ketika tewas 18-21, 9-21 kepada Putrajaya yang kini menghuni tempat ketiga saingan STL setelah mengumpul 14 mata.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan berada di tangga tercorot selepas mengumpul enam mata daripada tiga kemenangan.