Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, tidak mahu pasukannya dilabel sebagai lambat panas selepas membuktikan keupayaan dengan mencetak dua kemenangan pada minggu pertama Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) untuk mendominasi kedudukan teratas.

Naib juara STL 2020 itu masih mencari keserasian yang menyaksikan Aswadi menurunkan tekong baru, Adam Aiman Zainon, bagi menggantikan Hairul Hazizi Haidzir yang belum pulih daripada kecederaan lutut.

Tambahnya, cabaran saingan musim ini berbeza dan mereka perlu memanfaatkan setiap peluang untuk mengutip mata sebelum berdepan pasukan yang mempertaruhkan pemain import.





"Buat masa ini semua pasukan belum lengkap dengan kehadiran pemain import dan yang baru didaftar, jadi bagi saya (saingan) tahun ini lebih mencabar.

"Selain mahu mencabar Piala Juara-Juara dan kedudukan empat terbaik liga, kami tetap menyimpan impian untuk mencabar kejuaraan STL ," kata Aswadi.




Sementara itu, bekas tekong Kelantan Warriors, Adam Aiman Zainol, mengakui berdepan cabaran lebih tinggi bagi membalas kepercayaan jurulatihnya sambil menganggap ATM Guardians bukan calang-calang pasukan.

Kejutan yang dilakar mereka dalam perlawanan pertama ketika menewaskan Kuala Lumpur (KL) Thunders secara tidak langsung menyemarakkan semangat mereka.

"Tugas saya berat.

"Saya perlu lebih bekerja keras untuk bantu pasukan, lebih-lebih lagi servis saya masih kurang (memuaskan)," kata Adam.