Acara tahunan kedua terbesar WWE iaitu Summerslam akan muncul berbaki empat hari lagi. Temasya musim panas yang amat dinantikan seluruh WWE Universe kerana edisi kali ini bakal menyajikan beberapa perlawanan menarik dan amat didambakan peminat gusti di seluruh dunia.

Tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan dua bintang utama WWE iaitu Juara Universal WWE Roman Reigns dan bintang senior yang baru sahaja kembali semata-mata untuk menghentikan dominasi Roman iaitu John Cena. Sebuah persengketaan yang pastinya berbeza sama sekali dengan konfrontasi yang pernah mereka wujudkan pada tahun 2017 yang lalu.

Selama hampir setahun, Roman telah menguasai WWE di jenama Smackdown. Kalau sebelum ini Roman disorak dan disokong peminat, namun pengembaliannya di acara Summerslam tahun lalu telah mengubah dirinya 360 darjah. Roman tidak lagi mengambil peduli respon para WWE Universe terhadapnya. Malah sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan status quonya sebagai juara utama di Smackdown dan terus mengangkat dirinya sebagai ketua yang tidak perlu tunduk kepada sesiapa.


Beberapa bintang lain cuba mengekang momentum Roman yang dari sehari ke sehari semakin bermaharajalela. Kevin Owens, Cesaro, Edge dan Finn Balor antara yang gagal dalam misi mereka untuk menumbangkan Roman yang terus ampuh dan angkuh. Di samping penasihatnya Paul Heyman dan diiringi sepupu kembarnya The Usos yang rela bermatian untuk ketua suku puak mereka bagi meneruskan legasi keturunan Samoa Anoa’i, cubaan demi cubaan tetap gagal dilaksanakan dan dengan mudah dikesampingkan oleh bintang berusia 36 tahun itu.

Barangkali merasakan belum ada bintang lain yang layak untuk mengajar Roman yang dilihat semakin menyimpang daripada jalan yang lurus, muncul John Cena yang membuat kemunculan semula di acara WWE Money In The Bank bulan lalu setelah kali terakhir beraksi di pentas WWE di acara Wrestlemania tahun lalu. Meskipun dalam keterbatasan dan kesibukan sebagai bintang filem di Hollywood waktu ini, Cena tidak lupa tempat asalnya di WWE dan rela mengenepikan seketika kerjaya lakonannya untuk mendepani Roman.

Mengimbas semula pertembungan kedua bintang ini di acara WWE No Mercy pada tahun 2017, ketika itu Roman masih lagi seorang bintang muda yang cuba diangkat sebagai individu yang menggalas jenama WWE di era terkini bagi menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Hulk Hogan di Golden Era, The Rock dan Stone Cold Steve Austin di Attitude Era, seterusnya John Cena yang menjadi wira ketika Ruthless Aggression dan PG Era. Namun penerimaan peminat terhadap Roman tidak seperti yang diharapkan. Walaupun WWE berusaha keras untuk menampilkan Roman sebagai bintang suka ramai, Roman masih lagi menjadi sasaran kecaman peminat yang belum bersedia menerima Roman sebagai hero mereka di zaman yang dipanggil Reality Era ini.


Ketika itu, Cena telah menggunakan hujah tersebut sebagai senjatanya untuk menyerang Roman secara profesional dan berbaur sedikit peribadi. Walhal Cena juga pastinya sedar yang dirinya juga pernah melalui apa yang dilalui Roman apabila saban minggu dicemuh peminat dewasa yang melabelkannya sebagai hero kanak-kanak. Cena namun demikian bijak mencatur strategi apabila mengundurkan diri seketika bagi memberi ruang kepada Roman untuk menyinar. Peminat yang selama ini menge”boo”nya, kini berpihak kepada Cena bagi membuktikan yang Roman masih belum cukup ‘masak’ untuk diangkat sebagai juara.

Begitupun, di acara No Mercy itu Roman membuktikan yang baton sememangnya telah berada di genggamannya apabila berjaya menewaskan Cena dalam perlawanan antara mereka. Sebagai tanda hormat dan mengakui hakikat, Cena memberikan tabik hormat kepada Roman selajur meminta WWE Universe menerima Roman seadanya.

Berbeza pada waktu ini. Roman yang sekarang bukan lagi Roman yang dulu. Cena seolah-olah kini menghadapi individu berbeza walaupun masih sang juara itu masih mengekalkan nama yang sama. Malah Roman tanpa segan silu memulangkan paku buah keras kepada Cena yang kini dilihat begitu sibuk mengejar kemasyhuran di Hollywood sedangkan dirinya masih lagi gigih membanting tulang dan memerah keringat dalam gelanggang saban minggu.

Ibarat memerah titisan limau ke dalam luka yang sedang berdarah, Roman mengungkit semula karakter Cena yang sejak dulu hingga kini masih statik dan begitu klise tanpa sebarang usaha untuk merevolusikannya. Hinggakan nama bekas tunangan Cena iaitu Nikki Bella turut dipetik, kononnya Nikki lari meninggalkan Cena kerana tersekat pada kedudukan yang sama sejak sekian lama akibat keengganan bekas juara dunia 16 kali itu keluar dari zon selesa.

Sebagai bintang yang lebih berpengalaman, Cena pula bijak mematahkan hujah dengan mendakwa Roman telah merosakkan individu di sekelilingnya sehingga menyebabkan Dean Ambrose (Jon Moxley) angkat kaki dan meninggalkan WWE. Begitu juga dengan Seth Rollins yang agak bercelaru pasca terbubarnya pasukan The Shield dua tahun yang lalu.


Serangan secara verbal mungkin boleh bertali arus. Namun semuanya akan sampai ke titik kemuncaknya apabila kedua mereka akan menghiasi perlawanan kemuncak di acara Summerslam Ahad ini. Kalau dibaca atas kertas, penulis merasakan agak tipis untuk Cena menumbangkan Roman kerana pastinya Roman akan melakukan apa sahaja termasuk mendapatkan bantuan daripada Usos untuk menggangu fokus Cena.

Tambahan pula pengembalian Cena kali ini hanya ibarat persinggahan di kawasan rehat dan rawat. Umum mengetahui yang jadual lakonannya amat padat dan tak mungkin Cena dapat berlama-lama di WWE selepas ini. Jadi agak pelik jika Cena diberikan bengkung kejuaraan Universal tapi tidak mempertaruhkannya untuk satu tempoh masa yang lama sepertimana yang pernah dilakukan Brock Lesnar sebelum ini.


Namun jangan kita lupa kepada Big E yang kini bergelar Mr Money In The Bank. Walapun beg bimbit yang berisi kontrak sebagai pencabar utamanya itu telah dirompak Baron Corbin minggu lalu, namun tidak mustahil ia akan diperoleh semula tak lama lagi dan akan dibawa ke acara Summerslam. Usah pelik setelah Roman dan Cena yang berhempas pulas bertarung bagi merebut kejuaraan tersebut, akhirnya Big E pula yang memperoleh senyuman terakhir apabila menunaikan kontrak Money In The Banknya daripada Cena atau pun Roman, seterusnya bergelar Juara Universal WWE yang baharu.

Persoalan siapa bakal menjulang kejayaan hanya akan terjawab di acara Summerslam pada Ahad ini, hanya di rangkaian WWE Network saluran 821.

Perlawanan lain di acara WWE Summerslam:
1. Goldberg mencabar Bobby Lashley untuk Kejuaraan WWE
2. Edge menentang Seth Rollins
3. Sasha Banks bertemu Bianca Belair bagi merebut Kejuaraan Wanita Smackdown
4. Perlawanan tiga penjuru untuk Kejuaraan Wanita Raw antara Nikki A.S.H., Charlotte Flair dan Rhea Ripley
5. Sheamus berdepan cabaran daripada Damien Priest untuk Kejuaraan Amerika Syarikat
6. Rey & Dominik Mysterio bertemu The Usos untuk Kejuaraan Beregu Smackdown
7. RK-Bro (Randy Orton dan Riddle) mencabar AJ Styles & Omos untuk Kejuaraan Beregu Raw

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Summerslam pada 21 Ogos diikuti NXT Takerover 36 pada 22 Ogos ini serta kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.