WWE memberikan beberapa easter egg kepada WWE Universe di acara WWE Summerslam yang berlangsung pagi semalam.

Tiada angin dan tiada ribut, Becky Lynch muncul semula di pentas WWE setelah lebih setahun berehat panjang. Menggantikan tempat Sasha Banks yang dilaporkan tidak dapat beraksi kerana sebab yang tidak dinyatakan, The Man menyingkirkan Carmella yang pada awalnya diletakkan sebagai pencabar gantian. Penyandang Kejuaraan Wanita Smackdown Bianca Belair yang pada awalnya agak kecewa kerana tidak dapat menentang The Boss, dilihat teruja untuk mendepani The Man yang selama ini dianggap sebagai bintang wanita terbaik WWE di era ini.


Namun sayangnya, Bianca longlai apabila tewas kepada Becky hanya dengan satu tumbukan dan gerakan penyudah Manhandle Slam. Kemenangan mudah yang tidak dijangka itu sekaligus mengakhiri dominasi Bianca selaku juara selama 131 hari sejak memenangi kejuaraan itu di acara Wrestlemania 37 pada April lalu.

Untuk rekod, Becky telah melepaskan Kejuaraan Wanita Raw pasca acara Money In The Bank pada Mei tahun lalu kepada Asuka yang memenangi kontrak Money In The Bank pada malam sebelumnya. Becky membuat keputusan itu kerana ingin berehat kerana telah disahkan hamil anaknya yang pertama dan kini kembali untuk menguasai divisyen wanita di jenama Smackdown.


Walaupun pengembalian Becky pada awalnya disambut dengan gegak gempita oleh para peminat yang membanjiri Allegiant Stadium di Las Vegas, namun kemenangan yang begitu singkat itu sedikit sebanyak menyebabkan kegembiraan itu tidak bertahan lama. Malah ada yang menganggap terlalu awal untuk Becky kembali bergelar juara sekaligus seakan menafikan kehebatan Bianca yang selama ini bekerja keras untuk menjadi wanita nombor satu di Smackdown.

Penonton juga dilihat agak vokal dalam menyatakan penerimaan mereka. Dalam perlawanan bagi merebut Kejuaraan WWE di antara penyandang juara Bobby Lashley dan bintang legenda Goldberg, para peminat tidak teragak-agak melaungkan sorakan boo kepada bekas Juara WCW itu. Malah Lashley yang merupakan penggusti geng jahat bersama MVP pula disorak sebagai tanda yang mereka tidak bersetuju Goldberg diberikan peluang begitu sahaja untuk menjadi pencabar utama kejuaraan milik Lashley.


Cubaan WWE untuk mengundang rasa simpati peminat kepada Goldberg juga nampak kurang berjaya walaupun Lashley terus menyerang lutut bintang berusia 54 tahun dengan kerusi besi selepas pengadil terpaksa menghentikan perlawanan akibat kecederaan yang dialami Goldberg. Penonton juga dilihat bersorak girang apabila Lashley melakukan kunci lehernya kepada anak bujang Goldberg iaitu Gage yang meluru masuk ke gelanggang untuk menyelamatkan ayahnya.

Reaksi bercampur baur penonton terhadap Goldberg memberikan isyarat jelas yang peminat tidak mahu lagi bintang Hall Of Fame itu sewenang-wenangnya diberikan hak sebagai pencabar utama kejuaraan seolah-olah tiada bakat muda lain yang boleh ditampilkan. Namun pujian tetap wajar boleh diberikan kepada Goldberg kerana beraksi agak lama dalam perlawanan ini iaitu selama 7 minit 10 saat. Durasi yang agak panjang jika ingin dibandingkan dengan kebanyakan perlawanan Goldberg di WWE sebelum ini.

Perlawanan kemuncak yang menyaksikan pertembungan Roman Reigns dan John Cena bagi perebutan Kejuaraan Universal WWE juga berakhir seperti dijangka. Jika tidak yakin dapat menumbangkan Cena, masakan Roman berani meletakkan syarat yang jika dirinya tewas, maka dia akan meninggalkan WWE.

Setelah hampir dua tahun tidak beraksi kerana sibuk dengan kerjaya lakonannya di Hollywood, Cena dilihat agak perlahan rentaknya dan tidak mampu menyeimbangkan rentak perlawanan dengan Roman yang dilihat lebih selesa. Malah tiga gerakan penyudah Attitude Adjustment juga belum cukup ampuh untuk menumbangkan Roman yang kelihatan begitu menguasai perlawanan.


Dengan beberapa siri tumbukan layang Superman diikuti dengan rempuhan spear, Roman berjaya mengenepikan cabaran daripada Cena selepas 23 minit perlawanan berlangsung. Sebuah kemenangan yang boleh diagak penamatnya kerana semua tahu yang Cena kembali hanya untuk seketika bagi memeriahkan kempen Summerslam tahun ini. Cena akan kembali semula ke Hollywood dan agak mustahil untuk WWE meletakkannya sebagai juara dengan kekangan jadual yang sangat padat untuk bintang berusia 44 tahun itu.

Ibarat menonton filem adiwira Marvel yang sering menghadiahkan penonton dengan babak tambahan di kredit akhir, Roman yang baru sahaja ingin meraikan kemenangannya dikejutkan dengan lagu tema milik Brock Lesnar yang kali terakhir beraksi pada April tahun lalu di acara Wrestlemania. Ia disambut penuh keterujaan oleh para penonton, ditambah lagi dengan imej baharu Lesnar yang kini berambut agak panjang dan segak diikat dengan tocang.


Paul Heyman yang sebelum ini merupakan jurucakap kepada Brock dan kini menjadi penasihat kepada Roman juga dilihat tergamam melihat kemunculan The Beast. Bagi menyelamatkan kedudukannya dan mungkin mengelak daripada diapa-apakan oleh bekas ‘anak guam’nya itu, Heyman dengan pantas keluar dari gelanggang dan menggesa Roman juga segera beredar bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Jika rekod pertemuan Roman-Lesnar sebelum ini menyaksikan Roman memainkan watak kegemaran peminat, tapi pertembungan semula mereka kali ini amat mengujakan kerana Roman kini membawa karakter berhaluan kiri sekaligus turut mengundang beberapa persoalan. Tambahan pula mereka kini berkongsi pengurus yang sama iaitu Paul Heyman. Siapa akan Paul sebelahi selepas ini jika Brock ingin menukar angin dan bergusti di jenama yang sama dengan Roman iaitu Smackdown?

Sebagai peminat, sukar untuk menelah sama ada Brock kini telah bertukar watak menjadi penggusti suka ramai atau sebaliknya. Tapi daripada apa yang disaksikan di segmen kemuncak Summerslam semalam, Brock dilihat lebih digemari peminat dan layak untuk mencabar Roman yang masih tidak dapat dikalahkan sesiapa sejak Ogos tahun lalu.
Tidak mustahil, Paul Heyman akan berusaha mendamaikan kedua mereka. Daripada menjadi seteru, Heyman mungkin akan memujuk Brock untuk bergabung dengan Roman membentuk pasukan ala-ala Two Men Power Trip gandingan Triple H dan Stone Cold Steve Austin pada tahun 2001 dulu. Dua bekas musuh ketat yang sanggup melupakan sengketa lama demi membentuk sebuah gandingan yang jika menjadi kenyataan, akan dinamakan sebagai gabungan paling padu dan sukar untuk diganggu gugat oleh bintang mahupun pasukan lain.

Namun jika Brock menolak, Roman perlu mengatur strategi untuk mendepani cabaran daripada The Beast dan Paul Heyman perlu menandatangani perjanjian ala statutory declaration (SD) bagi menyatakan ikrar taat setianya kepada Roman agar tidak mengkhianatinya dan kembali berpihak kepada Brock Lesnar.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.