Penghijrahan Raphael Varane ke Manchester United sebagai pertahanan tengah merupakan pembelian yang bijak dilakukan Ole Gunnar Solskjaer memandangkan Varane merupakan pertahanan tengah yang tenang dan bijak dalam membaca permainan.

Ia amat sesuai untuk digandingkan dengan Harry Maguire kerana kedua-dua pemain itu memiliki persamaan dalam corak pertahanan mereka namun mempunyai perwatakan yang berbeza.

Melihat daripada segi perwatakan Varane, dia nampak lebih tenang dan sudah tentu dengan sikapnya itu mampu membina persefahaman dan komunikasi yang baik di bahagian pertahanan Man United.

Apa yang menarik tentang Varane ini, dia juga mempunyai kepantasan dalam menghalang gerakkan lawan terutama dalam melakukan pintasan selain Varane juga mampu menggunakan kedua-dua belah kakinya. Varane juga mempunyai kemampuan menjaringkan gol sebagaimana yang dilakukannya bersama Real Madrid dan Perancis.





Ini sudah tentu akan memberi kelebihan pada Man United dalam memburu jaringan kerana Varane boleh memainkan peranan itu ketika set pieces. Apa yang lebih penting kehadiran Varane ke Man United itu pasti akan memberi semangat dan keyakinan kepada pemain-pemain Man United sendiri kerana mereka sudah mempunyai salah seorang pemain pertahanan terbaik di dunia sebagaimana Liverpool memiliki Virgil Van Djik.

Sudah tentu pemain-pemain Man United sudah bersedia untuk meletak sasaran yang lebih tinggi musim ini terutama memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu peminat-peminat Man United pasti tidak sabar untuk melihat aksi Varane bersama Paul Pogba digandingkan kerana kedua-dua pemain ini telah menunjukkan satu persefahaman yang tinggi ketika bersama skuad kebangsaan Perancis.

Dengan kehadiran Varane ini juga membawa harapan baru kepada peminat-peminat Man United untuk melihat Man United lebih garang pada musim ini.