“Seorang lelaki telah mengubah seluruh pasukan yang hanya tahu merungut menjadi pemenang dalam tempoh yang cukup singkat.

“Skuad ini akan menjadi lebih berbahaya dengan adanya medal pemenang terkalung di leher.

“Erik Ten Hag telah menguasai Manchester United.”

Itu petikan kata-kata daripada bekas pemain United, Gary Neville, seseorang yang boleh dikatakan sebagai pengkritik terbesar dan paling pedas sejak bermusim-musim lalu.

Pujian yang begitu mendalam itu nyata menggambarkan betapa hebatnya pencapaian yang telah Ten Hag kecapi.

Hanya tempoh tujuh bulan diperlukan pengurus dari Belanda ini bagi meyakinkan seluruh pasukannya untuk melupakan segala keperitan yang telah dilalui sejak bertahun-tahun lamanya dan percaya bahawa jika mereka mengamalkan segala nasihat dan tunjuk ajar daripadanya, kejayaan pasti dicapai.

Pasca kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United dalam perlawanan akhir Piala Carabao kelmarin, gelagat Ten Hag menari riang bersama dua pemain yang telah bersamanya sejak bersama Ajax lagi, Lisandro Martinez dan Antony, seolah-olah menghantar satu mesej yang cukup jelas:



Ini bukan kali pertama kami meraikan kejayaan bersama, percayakan sahaja Ten Hag dan anda juga akan turut sama merasakan apa yang kami rasa.

Kini satu piala sudah dalam genggaman, tiga lagi masih dalam saingan.

Mirip sekali dengan Sir Alex Ferguson, Ten Hag enggan mabuk dengan kejayaan awal itu lalu menghantar mesej peribadi kepada kesemua penyokong United semalam.

“Kita layak untuk bergembira buat seketika tetapi jangan sesekali berasa puas.

“Ini kerana kepuasan hanya akan membawa kepada kemalasan dan apabila kita malas, kita tidak akan dapat mengecapi kemenangan lebih lanjut.”

Ini turut sama dilihat daripada temu bual Ten Hag bersama bekas penyerang United, Robin Van Persie, sebelum perlawanan menentang Barcelona minggu lalu.

Dalam temu bual itu, Van Persie memberikan pujian demi pujian untuk menggambarkan rasa hormatnya kepada pengurus tersebut, namun Ten Hag pantas menghentikan tindakan itu lalu membalas: “Robin, cukuplah dengan pujian kamu itu. Pujian semata-mata tidak memenangkan sebarang trofi.”



Tanya sahajalah kepada mana-mana pemain dalam bilik persalinan United tentang rahsia kejayaan mereka, pastinya mereka akan merujuk kepada perasaan gembira dan yakin yang telah menggantikan segala kesugulan lalu.

Penjaga gol, David De Gea, baru sahaja mencipta sejarah dengan mengatasi rekod Peter Schmeichel – 181 perlawanan tanpa bolos.

Ten Hag tidak menunggu lama lalu menghadiahkan sehelai jersi dengan angka 181 sewaktu dalam kapal terbang ketika pulang dari London dan seluruh pasukan mengabadikan kejayaan itu dengan bergambar bersama.

De Gea adalah antara ahli pasukan yang paling banyak bersabar dalam sejarah 12 tahun bersama United setakat ini.

Ada musim yang dia digelarkan sebagai penjaga gol terbaik dunia, ada juga musim dia dikatakan sebagai penjaga gol paling cemerkap. Namun, di sebalik kesemua itu, kesetiaannya bersama kelab tidak boleh sesekali dipertikaikan.

Dengan adanya pengurus seperti Ten Hag, segala kesabarannya pasti bakal terus dibalas berkali-kali ganda.

Tanyakan juga kepada Harry Maguire, kapten pasukan yang dahulunya menjadi pilihan kekal di posisi pertahanan tengah tetapi kini sekadar pemain simpanan di bawah pimpinan Ten Hag.

Biarpun tidak lagi menjadi pilihan utama, temu bual bersama akhbar Daily Mail menunjukkan dia sedikit pun tidak kecewa dengan Ten Hag kerana pengurus itu berkomunikasi dengannya setiap hari dan tidak pernah putus dalam meyakinkan dirinya bahawa dia masih mempunyai kebolehan yang tinggi dan masih lagi bakal diberi peluang untuk Kembali menyinar.

Ten Hag memberikan Maguire penghormatan untuk masuk ke padang pada minit-minit akhir perlawanan menentang Newcastle agar dia dapat menjulang trofi sebagai kapten – tindakan yang pasti cukup besar maknanya buat pemain itu.

Misi Ten Hag dan seluruh pasukan United selepas ini adalah meneruskan perjuangan dalam Piala FA menentang West Ham.