Mendengar nama Thailand sahaja sudah menggerunkan. Apatah lagi debaran berkongsi gelanggang dengan sang Gajah Perang selepas dimomokkan umpan 1 juta wang kemenangan dan watak baharu di jentera pertahanan, Elias Dolah yang serba unik berdarah Malaysia.

Jika dibandingkan kesungguhan Thailand dalam memastikan kemenangan dibawa pulang dari Bukit Jalil bagi aksi keempat kumpulan G, kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, nilai 1 juta itu boleh dianggap besar dan atas sebab itu, kita pantas disajikan kehebatan strategi pengendali dari Jepun, Akira Nishino yang berhasil menemui gol pembukaan seawal minit ketujuh menerusi sensasi, Chanathip Songkrasin.

Pemain tengah yang lebih senang disapa sebagai Jay ini antara pemain Thailand yang berkelana di saingan Liga J , bagaimanapun hanya sempat memainkan peranannya dalam menyumbangkan gol setakat itu sahaja kerana segalanya berubah selepas itu apabila secara automatiknya langkah Malaysia mulai tersusun cantik sehingga jaringan penyamaan direkodkan Brendan Gan pada minit ke-26.

Kini kehadiran pemain naturalisasi negara ini bersama Harimau Malaya lebih sempurna dengan gol sulungnya di pentas antarabangsa, sekali gus menjadi cerminan mengapa Brendan antara 3 calon akhir bagi kategori Pemain Tengah Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan, ABK 2019.

Brendan yang kelihatan bersemangat tinggi sepanjang perlawanan juga menjadi nadi kepada jaringan kemenangan seorang lagi pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang juga berkira-kira merebut anugerah tertinggi bola sepak negara itu dalam kategori sama pada Jumaat.

Ini menyaksikan rata-rata penonton dan pemerhati bola sepak yang menyaksikan pertemuan Malaysia dan Thailand ini bersetuju dengan pemilihan Brendan sebagai pemain terbaik perlawanan dengan aura luar biasanya kali ini.

Aura pemain kacukan Thailand yang tiba-tiba dicanang sebagai senjata terbaharu pula tidak kelihatan pada penampilan ketiganya di pentas antarabangsa menentang pasukan yang ada kena mengena dengan susur galur keluarga sebelah ayahnya.

Elias tetap dilabel gagal memberi impak besar dalam mengekang serangan musuh walaupun dia dan rakan-rakan berjaya mensia-siakan 5 daripada 7 cubaan tepat Malaysia.

Ini menyaksikan nama Elias setakat ini akan hanya diingati sebagai pemain berdarah kacukan Kelantan-Thailand-Sweden yang membarisi skuad gajah perang yang diaibkan untuk menjadikan rekod pertemuan Malaysia dan Thailand sejak 2012 diperbaiki kepada menang 2 kali, tewas 4 kali dan seri 3 kali.

Manakala keseluruhan pertemuan sejak 1959 pula terus memihak Malaysia dengan 41 kemenangan daripada 111 pertemuan di mana Thailand sekadar memenangi 35 aksi dan selebihnya berakhir seri.