Steven Gerrard tidak pun perlu diingatkan bahawa dalam bola sepak, perubahan nasib – daripada baik kepada buruk dan sebaliknya – boleh berlaku dalam hanya sekelip mata.

Cuma, bezanya ialah dulu dia mengalaminya sebagai pemain dalam kerjaya panjangnya bersama Liverpool dan kini selaku pengurus bersama Aston Villa.

Jika pun dia enggan membenarkan dirinya dibuai lamunan, kesudahan di Villa Park kelmarin harus menyentaknya agar segera kembali ke alam nyata.

Benar, ini adalah masa yang kritikal buat Gerrard dan kelab bimbingannya, apatah lagi Aston Villa sudah melurut turun dalam carta untuk terpisah lima mata daripada kelompok 10 teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Berbanding ketika dia kali pertama mengendalikan pasukan dalam kemenangan 2-0 ke atas Brighton di laman sendiri pada 20 Nvember tahun lalu, keadaan sudah diterbalikkan sama-sekali.

Kekalahan 0-1 kepada Watford melalui jaringan Emmanuel Dennis pada minit ke-78 pertemuan di Villa Park kelmarin, disambut dengan ejekan dan cemuhan membingitkan daripada penyokong sendiri.

Ia sekadar mengisyaratkan ‘tempoh berbulan madu’ Gerrard bersama Aston Villa sudah lama berlalu.







Hanya satu kemenangan dalam lapan perlawanan daripada semua pertandingan di samping tiada sebarang gol atau mata ketika berdepan lawan dalam kelompok empat terbawah – keadaannya tidak mungkin akan lebih menyesakkan nafas buat pengurus berusia 41 tahun itu.

Kekalahan terdahulu, 0-1 kepada Newcastle United di St. James’ Park pada 13 Februari lalu, harus menyakitkan tapi kekecewaan terbaru ini rata-rata dirasakan tiada ampun.

Perihal Aston Villa yang sudah lekang daripada sebarang sentuhan pemusnah semakin ketara. Ambil contoh pertemuan dengan Watford itu di mana mereka kebuntuan gol untuk dua perlawanan berturut-turut.

Sejumlah 20 percubaan dilakukan secara keseluruhan tapi hanya satu yang menepati sasaran – modal yang terlalu tipis untuk mana-mana pasukan mengharapkan kemenangan.

Hairannya semua itu menjadi tontonan di sebalik Villa boleh bermegah dengan bakat-bakat kreatif yang membariskan Philippe Coutinho, Emi Buendia, Jacob Ramsey and John McGinn.

Isu lebih besar barangkali terletak di barisan depan mereka.

Danny Ings, yang masuk selaku pemain gantian kelmarin, mendapati satu percubaannya terkena tiang di samping satu rayuannya untuk sepakan penalti tidak diendahkan. Dalam pada itu, dia hanya menyumbangkan satu gol sejak Oktober.





Gandingannya, Ollie Watkins pula belum menemui jaring pada tahun 2022 ini. Kedua-duanya berada di atas padang seiringan dengan Leon Bailey menghampiri babak penghujung perlawanan kelmarin tapi tiada seorang pun mampu mencetuskan perbezaan.

“Benar, kami memiliki pemain-pemain berbakat tapi tidak cukup setakat itu. Mereka perlulah menunjukkan yang mereka mampu menyumbang kepada kejayaan pasukan,” kata Gerrard seperti dipetik The Mirror UK.

Namun, isu lebih besar ketika ini ialah bagaimana Gerrard bercadang untuk menangani rentetan terburuk dalam kerjaya pengurusannya sejauh ini.

Umum mengetahui ia memang di dalam DNAnya untuk bencikan kekalahan, namun mengakui ia harus ditanganinya secara berbeza selaku seorang pengurus berbanding ketika kegemilangannya sebagai pemain.

“Saya bukan lagi seorang pemain, sebaliknya pengurus dan tugas saya sama-sekali berbeza.

“Tapi anda sangat betul yang saya sangat tak sukakan kekalahan, tidak kira dalam apa peranan. Itu tidak akan berubah, ia tetap kekal dalam DNA saya,” tambahnya.

Cuma, masa semakin mencemburuinya dan apa yang dirancangnya perlulah membuahkan hasil segera sebelum keadaan menjadi bertambah parah.