Ketika rakan seangkatannya didalam skuad bawah 23 tahun negara seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid sedang menikmati apa yang mereka peroleh bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), namun nasib tidak sama yang dialami oleh Nik Akif Syahiran Nik Mat dan rakan-rakannya yang berkhidmat bersama Kelantan ketika ini.

Apa yang dihadapi oleh Nik Akif Syahiran dan rakan-rakannya di Kelantan ketika ini amatlah pedih apabila pendapatan bulanan mereka masih lagi tertunggak dan tidak dibayar oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Inilah setuasi yang dilalui oleh Nik Akif Syahiran dari musim lalu lagi walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh KAFA untuk melunaskan gaji yang tertunggak itu namun masih gagal. Tetapi apa yang menarik disini untuk penulis kongsikan bagaimana pemain-pemain Kelantan ketika menghadapi setuasi getir itu tetapi mereka masih mampu lagi fokus dan memberikan aksi yang terbaik ketika perlawanan berlangsung.

Ini dibuktikan Nik Akif Syahiran dan rakan-rakannya apabila berjaya mencipta kemenangan besar ke atas UKM setelah saingan Liga Perdana dilangsungkan semula oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) minggu lalu.

Sikap positif dan professional beginilah yang patut dipuji dan perlu dijadikan contoh oleh pemain-pemain professional yang lain dimana Nik Akif Syahiran dan rakan-rakannya dapat melupakan seketika masalah yang mereka hadapi.

Apa yang lebih menarik daripada pandangan penulis itu ialah bagaimana Nik Akif Syahiran dan rakan-rakannya dapat menjaga etika sebagai seorang pemain professional yang menghormati kontrak majikannya walaupun majikannya gagal melaksanakan tanggugjawab sebagai sebuah organisasi professional. Pengurusan KAFA sepatutnya berasa malu dengan komitmen yang ditunjukan oleh Nik Akif Syahiran dan rakan-rakannya.

Bukan mudah bagi seseorang pemain itu melupakan seketika sesuatu perkara yang negatif, apatah lagi melibatkan pendapatan bulanan mereka setelah memberi khidmat namun tidak dibayar sedangkan mereka juga mempunyai komitmen setiap bulan yang perlu laksanakan.

Inilah nilai intregiti dan kejujuran dalam melaksanakan tugas yang ditampilkan Nik Akif Syahiran dan rakan-rakannya.




Begitulah didikan yang diterima dan diamalkan oleh Nik Akif Syahiran dan rakan-rakannya dari bola sepak.

Dalam hal-hal sebegini jurulatih dan orang-orang sekeling mereka juga banyak membantu memainkan peranan dalam memberi sokongan moral kepada mereka supaya mereka dapat melaksanakan amanah itu dengan sempurna.



Sebagai seorang bekas pemain, penulis rasa hormat yang begitu tinggi kepada Nik Akif dan rakan-rakannya atas sikap yang ditonjolkan mereka. Inilah pengorbanan dan perjuangan sejati ditampilkan oleh seorang pemain bola sepak dalam sukan yang mereka minati. Dengan semangat juang yang tinggi dipamirkan oleh Nik Akif dan rakan-rakannya itu pasti akan membuka mata jurulatih-jurulatih dari pasukan-pasukan lain suatu hari nanti untuk mengambil mereka dalam pasukan kerana sikap terpuji mereka itu. Teruskanlah perjuanganmu anak muda, kami sebagai pencinta bola sepak akan sentiasa berada dibelakangmu untuk memberi sokongan dan terus berdoa untuk kejayaanmu.