Sukan SEA 1997 diadakan di Jakarta pada ketika negara Asia Tenggara diambang krisis mata wang/ekonomi. Sejumlah 34 sukan dan 440 acara dipertandingkan.

Malaysia meraih sejumlah 55 emas, 68 perak dan 75 gangsa untuk menduduki tempat ketiga pungutan keseluruhan di belakang juara Indonesia, dan Thailand di tempat kedua.

Ia persembahan membanggakan daripada kontinjen negara selepas persembahan hambar dua tahun sebelum itu di Chiangmai.

Berbicara mengenai Sukan SEA 1997di Jakarta ini, fikiran saya melayang kepada venue Velodrom Ramamangun. Ketika itu saya menanti final 200 meter pecut lelaki antara pelumba legenda negara Rosman Alwi aka “Mbak Speda” menentang musuh ketatnya Nur Rachman dari Indonesia.

Rosman tidak mengecewakan apabila memenangi emas. Apa yang membuat saya lebih terharu ketika itu ialah sebaik memenangi perlumbaan, Rosman mengangkat tangan sambil menjerit kepada ayahnya, yang juga jurulatih beliau, Allahyarham Alwi Ahmad, “Ayah, Saya berjaya,” sebelum memberhentikan basikal dan memeluk ayahnya. Ia antara memori terindah saya di Sukan SEA.

Selepas itu Rosman menceritakan bahawa dia menggunakan basikal ‘tua’ yang sudah terlalu berusia dan banyak berjasa untuk memenangi emas dalam penampilan terakhirnya di Sukan SEA.

Selain Rosman, cerita kebangkitan olahraga negara di Jakarta juga menakjubkan, Selepas hanya tujuh emas diraih di Chiangmai 1995, atlit olahraga memungut 16 emas dengan G Shanti, yang kembali dari persaraan meraih emas pecut berganda 100 & 200 meter.

Namun, di sebalik kejayaan cemerlang ini, kontinjen negara masih dibelenggu kekecewaan dengan kegagalan skuad bola sepak.

Dibarisi pemain bintang antaranya Azman Adnan, Zami Mohd Noor serta Rizal Sukiman, pasukan tersingkir di peringkat kumpulan tewas kepada tuan rumah Indonesia, sebelum diaibkan Laos 0-1.

Ia menyaksikan skuad negara dikritik hebat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengambil langkah drastik dengan membubarkan pasukan kebangsaan serta menggantung skuad kebangsaan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa buat seketika.