Ini semua angkara Pakistan. Juga angkara kelemahan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Pengkritik, termasuk media, pula ditakrifkan bukanlah individu yang tahu tentang bola sepak.

Jadi, skuad B-22 negara pula tiada salah apa-apa?

Came on lah (sic).

Ibarat orang sedang lemas yang akan cuba berpaut kepada apa saja yang terapung sekalipun hanya segumpal sampah, kita pula terkais-kais alasan untuk menutup kegagalan terbaru skuad B-22 negara meraih tempat dalam pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Bangkok dan Pathum Thani, Thailand dari 8-26 Januari 2020.

Namun, sebelum itu, syabas kepada Datuk Ong Kim Swee dan barisan pejuangnya yang membanggakan ramai dengan semangat melawan mereka – kita meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan kelayakan, tidak tewas di samping satu-satunya pasukan yang membolosi pintu gol China bukan sekali tapi dua.

Selebihnya, apabila rumput-rumput baru mulai tumbuh di padang Stadium Shah Alam selepas jenuh dipijak dan dihenyak empat pasukan dari 22-26 Mac lalu, kita perlu menerima hakikat yang kita tak layak. Noktah.



Sudah jadi lumrah apabila sesuatu kegagalan ditempa, jari-jemari akan dituding. Sebenarnya satu jari yang dituding kepada orang lain, empat jari lagi akan menunjuk kepada diri sendiri.

Dicop tidak ‘gentleman’ ketika menang 3-0 ke atas Filipina dalam perlawanan pertama, sekarang kita pulak nak kata orang lain tidak mengamalkan fair play hanya kerana perlawanan kelayakan terakhir dalam 11 kumpulan berbeza di merata benua Asia tidak berlangsung serentak.

Untuk perlawanan terakhir kelayakan di Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan Kuwait berlangsung serentak dengan waktu mereka pada jam 8.30 malam, maka Malaysia tidak harus merungut jika perlu turun menentang China pada jam 3.30 petang. (perbezaan waktu kita lima jam di hadapan)

Kemudian, ada pula angkara Pakistan yang menarik diri daripada Kumpulan F yang turut membariskan India dan Tajikistan di samping Uzbekistan selaku tuan rumah.

Lantas, AFC memutuskan kedudukan terakhir pasukan di tangga kedua setiap kumpulan tidak mengambil kira keputusan dengan pasukan di tangga keempat.

Gara-garanya, kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Filipina tidak diambil kira, meninggalkan kita dengan empat mata dan perbezaan jaringan +1 – sekadar untuk menduduki tempat ketujuh terbaik daripada pasukan di tangga kedua semua kumpulan – hanya empat terbaik yang layak.

Di sebalik sudah gagal, kita terlalu takut untuk mengakui kegagalan. Jadinya, kita akan banyak beralasan. Dan apabila kita banyak beralasan, kita tidak akan belajar apa-apa daripada kegagalan. Seterusnya, apabila kita tidak belajar daripada kegagalan, kita tidak akan mengecap kejayaan.

Sampai bila kita tidak mahu mendewasakan diri dengan pegangan sedemikian?

Satu pelajaran daripada kelayakan Kejohanan AFC B-23 yang tamat kelmarin ialah: Jangan menyerahkan nasib sendiri di tangan pasukan lain.

Jika kita mampu mengekalkan pendahuluan 2-1 ke atas China hingga tamat, kita sudah pun layak selaku juara kumpulan dan semua ini tidak akan timbul.

Misalnya, Vietnam, juga selaku tuan rumah, kalahkan Thailand 4-0 pada malam terakhir untuk layak secara automatik – mereka tidak perlu mengadu atau merungut apa-apa.

Tiada guna menyalahkan format tidak adil sedangkan pada hakikatnya, kita memang tidak layak – terimalah ketentuan yang kita tak layak.

Apabila 16 pasukan mula tiba di Bangkok dan Pathum Thani, Januari nanti, apakah ada yang akan terkenang: “Kasihan Malaysia. Mereka patut ada bersama kita di sini.”

Atau jurulatih China, Guus Hiddink, akan mengulangi kata-katanya waktu itu: “Kami berdepan Malaysia yang mempamerkan permainan menarik, dengan keinginan untuk menyerang. Mereka sepatutnya layak ke pusingan akhir.”

Tiada sentimen dalam bola sepak – ia semudah sama ada anda layak atau anda tidak layak.

Rekod pada masa depan hanya akan memaparkan keputusan – bukannya permainan cantik, semangat melawan ketika peringkat kelayakan – semua itu akan dilupakan dalam sesingkat masa.

Selagi kita bersikap terlalu defensif, apologetik dan mengada-adakan alasan sekadar untuk menyedapkan hati sendiri, selagi itulah kita tidak akan belajar apa-apa daripada kegagalan.

Kita merangka banyak perancangan, kita menggerakkan banyak pembaharuan, sayangnya kita masih terjerat dengan mentaliti silam yang sudah lapuk.

Tapi sudah tentulah, seperti kata Peter de Roo, pengarah kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa pengkritik -- tidak terkecuali netizen di media sosial -- tidak tahu apa-apa tentang bola sepak.

Tapi mujur jugalah kerana jika sebaliknya, de Roo kini sudah bergelar penganggur terhormat.