Sepak Takraw League 2020 saingan divisyen 1 baru sahaja melabuhkan tirai dengan Bomba Fighters mencipta sejarah pertama kali menyertai saingan dan muncul juara.

Di kala ramai peminat sepak takraw tidak sabar-sabar menanti saingan Liga Premier untuk melihat pasukan-pasukan besar dan pemain-pemain ternama beraksi, penulis nak kongsikan sedikit beberapa pemain dari divisyen 1 yang menyinar bersama pasukan yang diwakili.


Irsyad Faiz

Tunjang utama yang menjadi nadi kejayaan Bomba Fighters untuk muncul juara. Kelibatnya sedikit 'rare' dengan melakukan servis kaki kiri, dan sering kali melakukan 'ace'. Riak wajah bersahaja sewaktu beraksi di atas gelanggang cukup mencuri para pemerhati. Baru berusia 24 tahun, andai beliau diberikan corak latihan yang tepat, tidak mustahil Irsyad boleh lahir semula dengan personaliti dan imej yang lebih baik dari sebelumnya.


Al-Hafiz Isa

Salah seorang pemain dalam Projek 2026 oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Al Hafiz Isa merupakan bintang masa hadapan yang sedang dalam pembikinan. Banyak pemerhati memuji teknik yang dimiliki Al-Hafiz, malah tekong KL Thunders Syahir Rosdi turut memberikan pandangan beliau terhadap Al-Hafiz. Syahir percaya andai kekurangan dan kelemahan kecil mampu diperbaiki, Al-Hafiz akan muncul sebagai tekong terbaik negara beberapa tahun akan datang.


Zuhri Zin

Pemain tinggi lampai, Zuhri Zin turut disebut-sebut bakal menjadi prospek bintang untuk masa depan. Ketenangan menghadapi lawan dalam setiap set menyaksikan pemain ini kurang melakukan kesilapan-kesilapan mudah. Sering keluar masuk gelanggang dengan seorang lagi tekong Masum UPM Knights, Mustaqim Zainordin, kelibat Zuhri Zin yang memiliki ketinggian 190cm kerap menjadi perhatian kerana bukan mudah buat seorang pemain yang tinggi untuk melakukan servis yang terbaik.


Asyraaf Zawawi

Pemain kecil molek yang mewakili Melaka Titans, Asyraaf Zawawi antara perejam yang sering diberikan perhatian oleh lensa kamera. Bertubuh kecil bukan bermakna beliau tidak cukup bagus dalam melakukan hadangan, tetapi ketinggian setiap kali melakukan lompatan menyaksikan Asraaf berjaya melakukan hadangan dan juga rejaman untuk mematikan bola. Agak-agak Asyraaf ni musim hadapan kena pancing dengan pasukan lain tak? Mana tahu dapat tawaran dari pasukan Liga Premier ke musim depan kan.


Anas Muhaimin

Perejam Masum UPM Knights yang bukan lagi asing di saingan STL. Anas Muhaimin memiliki susuk tubuh yang amat sesuai selaku seorang perejam. Kepantasan melakukan lipatan dan ketepatan memilih sasaran bola menjadi salah satu kunci utama yang membawa Masum UPM Knights ke pentas separuh akhir. Tidak keterlaluan andai penulis katakan, Anas Muhaimin sepatutnya lebih layak beraksi di saingan Liga Premier.


Shahalril Aiman

Satu-satunya pemain dari pasukan yang tidak layak ke separuh akhir yang berjaya mencuri tumpuan penulis. Shahalril Aiman merupakan kembar kepada apit kiri Perlis Vipers Shahalril Aimin. Kenapa Aiman mencuri tumpuan? Sudah tentu kerana aksi lipat gulung. Kalau tidak silap penulis, Aiman adalah satu-satunya pemain di divisyen 1 yang melakukan rejaman lipat gulung. Cuma nasibnya kurang bernasib baik bersama Perlis Vipers. Takpe lah dik, anda baru berusia 18 tahun, tahun depan cuba lagi ya?