Selepas mengharungi 17 perlawanan Sri Pahang hanya mampu meraih empat kemenangan dan meletakkan Sri Pahang di kedudukan tangga kesembilan Liga Super musim ini.

Tangga itu membuatkan Sri Pahang berada di zon bahaya yang boleh menjerumuskan pasukan kendalian Dollah Salleh tersebut ke saingan Liga Perdana musim depan.

Ini satu lagi tugas yang berat kepada Dollah untuk memastikan Sri Pahang terus berada dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Pertemuan menentang Kuala Lumpur City adalah penentu hala tuju sebenar Sri Pahang untuk musim depan memandangkan dengan kemenangan sahaja akan dapat menjarakkan mata dengan pasukan Melaka United dan Perak.





Mengikut rekod pertemuan di antara Sri Pahang dengan Kuala Lumpur kerana ia memihak kepada Tok Gajah itu, namun pada musim ini sungguh berbeza kerana prestasi yang dipamerkan tidak begitu memberangsangkan.

Pemain-pemain Sri Pahang perlu bangkit dan perlu mengambil peluang beraksi di laman sendiri untuk mencipta kemenangan.

Pemain-pemain tempatan Sri Pahang perlu memberikan komitmen berlipat kali ganda dalamperlawanan esok daripada apa yang mereka berikan sebelum ini kerana mereka tidak boleh terlalu bergantung harapan daripada pemain-pemain import semata-mata.





Masa depan Sri Pahang ketika ini terletak di tangan pemain-pemain tempatan ketika ini.

Inilah tugas yang mencabar buat Dollah untuk membangkitkan semangat pemain-pemain tempatannya supaya lebih yakin dengan kemampuan diri mereka walaupun mempunyai kekurangan.

Mereka perlu yakin dengan kemampuan diri kerana hanya dengan keyakinan itu akan mendatangkan emosi yang positif. Selain itu, mereka perlu bijak dalam beraksi perang psikologi di atas padang supaya pemain-pemain Kuala Lumpur City berasa gerun kepada mereka dan itulah salah satu cara sekiranya kelab Pantai Timur berkenaan ingin mencipta kemenangan.