Kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim kelmarin telah menambah lagi luka dan penderitaan skuad Sri Pahang FC yang pada ketika ini menghuni tangga kedua terbawah carta Liga Super musim ini. Segala perubahan yang dilakukan ketika ini oleh Dollah Salleh sebagai pengendali sementara Sri Pahang nampak tidak menjadi buat masa ini setelah mengambil alih peranan sebagai jurulatih daripada Thomas Dooley yang direhatkan.

Ia satu tamparan yang hebat buat Dollah Salleh untuk mengembalikan reputasi Sri Pahang buat masa ini. Berdasarkan prestasi terkini anak-anak didik Dollah Salleh agak nampak sukar kerana Sri Pahang hanya mampu meraih lima mata dari sembilan perlawanan.

Situasi itu tentu membimbangkan penyokong-penyokong Tok Gajah tentang masa hadapan pasukan kesayangan mereka dalam saingan Liga Super. Sudah tentu mereka tidak mahu sejarah 2012 berulang dimana Sri Pahang bermain di Liga Perdana. Dalam keadaan terkini pasukan Sri Pahang itu, ia amat memerlukan sokongan daripada penyokong-penyokong mereka untuk terus berada di belakang pemain-pemain Sri Pahang kerana peluang untuk Sri Pahang keluar dari zon penyingkiran masih ada. Memandangkan pasukan-pasukan yang berada di atas Sri Pahang tidak jauh perbezaan matanya.

Sementara bagi pengurusan Sri Pahang pula janganlah terlalu mengharapkan satu keputusan drastik daripada pemain-pemain Sri Pahang ketika ini kerana mereka juga memerlukan sokongan daripada pihak pengurusan supaya moral dan emosi serta keyakinan diri setiap pemain tidak terganggu. Tekanan yang mereka hadapai ketika ini begitu berat sekali memandangkan musim ini adalah musim perubahan dari penyusunan pemain-pemain mengikut peruntukkan kewangan yang terhad Sri Pahang.

Inilah saat sukar Sri Pahang namun penulis yakin Dollah Salleh boleh membawa kembali kehebatan Sri Pahang sebagaimana dilaluinya pada 2012 yang menggalami situasi yang lebih kurang sama pada masa ini dan selepas itu Sri Pahang bangkit menjadi sebuah pasukan yang gah. Banyak kejayaan yang di kecapi Sri Pahang selepas itu sehingga menjadi sebuah pasukan yang sukar ditewaskan. Saat itu pasti akan kembali bersama Sri Pahang walaupun ketika ini Sri Pahang masih belum berseri sebagaimana yang diinginkan.