Siapakah yang pernah terlintas ini berkemungkinan berlaku – bahawa England kini di ambang kejuaraan dengan Gareth Southgate di kerusi panas pengurus The Three Lions?

Menyorot sejarah, ini baru kali kedua ia berlaku, dengan Southgate menyertai Sir Alf Ramsey sebagai satu-satunya pengurus yang mengemudi England ke final satu kejohanan utama.

Dan, ia boleh menjadi lebih baik lagi andainya sejarah memahatkan Southgate selaku pengurus England yang kedua menjulang gelaran – sekalipun ulang tayang Ramsey memimpin England menjuarai Piala Dunia 1966 kekal sebagai yang teragung.

Dari saat pelantikannya menggantikan Sam Allardyce dengan kontrak empat tahun bernilai £2 juta (RM11.5 juta) setahun pada penghujung November 2016, Southgate tidak terkecuali daripada menerima tekanan gerombolan besar yang meragui dan mempertikaikan keupayaannya.

Kebetulan, dia ketika itu baru dinaikkan pangkat daripada pengurus skuad bawah 21 tahun England, dengan bersandarkan hanya dua kemenangan (2-0 ke atas Malta dan 3-0 ke atas Scotland) dan dua keputusan seri (0-0 dengan Slovenia dan 2-2 dengan Sepanyol) selaku pengurus sementara selepas pengunduran Allardyce.

Malah, ketika England sedang bersiap-siap untuk perlawanan sulungnya menentang Croatia dalam Euro 2020 ini pada 13 Jun lalu, tanda pagar #southgateout menjadi tular sejurus kesebelasan skuadnya diumumkan.



Namun, seperti dipaparkan laman bbc.com, dia tidak mengendahkan semua itu – hanya ada seorang pengurus England dan bukannya beribu-ribu – sambil dia mempercayai sepenuhnya nalurinya sendiri serta pasukan yang dibarisi pemain-pemain yang dipilihnya.

Setakat ini, dia belum dibuktikan tersilap, dengan menyusuli kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia 2018 (tewas 1-2 kepada Croatia) dengan kelayakan ke final Euro 2020 pula.

Harus tidak salah untuk Southgate sedikit beremosi ketika menyertai pemain-pemainnya memberi penghormatan kepada penyokong di Stadium Wembley sejurus tamat pertembungan separuh akhir yang dimenangi mereka 2-1 ke atas Denmark selepas masa tambahan, awal pagi tadi.

Girangnya penyokong meraikan kemenangan itu dari tempat duduk Wembley tidak terperi. Tidak kurang juga setiap orang di luar stadium berkenaan yang menyokong England, turut sama merayakannya.

Southgate, yang sebelumnya bersikap tenang dan terkawal, gagal membendung emosinya ketika menyertai pemain dan barisan kejurulatihan menghadapi penyokong di satu ruang Wembley yang lantang menyanyikan “Sweet Caroline” dalam kegembiraan mereka.

Kebisingan dan keriuhan detik itu cukup untuk Southgate dilanda sebak. Saat beremosi itu mengerdilkan dirinya. Barangkali juga sejarah yang dia dan pemain-pemainnya baru cipta, terlalu hebat untuk dibendung perasaannya.

Sekurang-kurangnya kenikmatan mengakhiri penantian 55 tahun untuk skuad kebangsaan England kembali berarak ke final satu kejohanan utama, membuat semua mereka berasa di awang-awangan.



Sambil seluruh pasukan membuat larian keraian mengelilingi padang, keintiman dan keakraban mereka dengan penyokong yang terbentuk semula hasil kemaraan England ke separuh akhir Perancis ’98, kembali terserlah.

Barangkali benar juga England lebih bertuah.

Denmark memprotes hebat anugerah sepakan penalti pada minit ke-103 yang didakwa mereka sebagai simulasi oleh Raheem Sterling, namun tidak diendahkan pengadil Belanda, Danny Makkelie.

Begitu juga apabila Harry Kane mendapati sepakan penaltinya ditampan Kasper Schmeichel hanya untuk lantunan itu mudah disudahkannya, tapi tuah berkenaan hanya tiba bertahun-tahun selepas England kerap dirundung malang.

Kini, England hanya dipisahkan satu perlawanan dan satu pasukan – Itali – untuk mereka menjadikan acara sambutan berkali ganda lebih besar dan lebih hebat daripada yang disaksikan awal pagi tadi.

Dengan Wembley sekali lagi menjadi pentas dan kelebihan, dan dengan Southgate terus mempercayai nalurinya sendiri dan kemampuan pemain-pemainnya untuk meraih kegemilangan yang telah lama dinanti, ini (jam 3.00 pagi waktu Malaysia, Isnin ini) mungkin detiknya bola sepak kembali ke negara asalnya.

Ia akan menjadi momen paling beremosi buat Southgate ketika dia sebenarnya amat berhak.