Legenda bola sepak dunia, Pele secara terbuka mengakui dua pemain bola sepak paling dikaguminya ketika ini ialah Kylian Mbappe dan Cristiano Ronaldo.

Kerana itu, dia sebelumnya tidak sabar menantikan siapa di antara kedua-duanya akan menjaringkan lebih banyak gol pada aksi akhir Kumpulan F, Perancis lawan Portugal di Euro 2020 kali ini.

Persoalan dilontarkan Pele di laman sosial peribadinya itu mendapat 490 ribu ‘likes’ dan hampir 3 ribu komen, tetapi jawapannya terbukti hanya satu - CR7.

Ronaldo berada dalam kelasnya tersendiri ketika menamatkan badi berdepan Perancis - 6 penampilan menentang Les Blues sebelum ini langsung tiada gol dihasilkannya - ketika Mbappe tenggelam dek kebangkitan Karim Benzema yang memanfaat peluang kedua diberikan pengendali, Didier Deschamps.

Insiden kelam kabut di hadapan gawang Perancis hinggakan penjaga gol, Hugo Lloris tertumbuk muka Danilo di babak pertama, menjelmakan langkah mula gemilang buat Ronaldo.




Berdasarkan kajian, 76.9 peratus sepakan penalti pasti gol dan tugas Ronaldo mudah untuk bingkas memperagakan gaya sambutan golnya, ‘Sii’, di hadapan pemain dan penyokong Perancis, baik di Budapest mahupun di serata dunia.

‘Sii’ dan Ronaldo pernah mengundang kritikan, dengan dia dilabel ‘berlagak’, ‘sombong’ dan ‘berlebih-lebihan’ meraikan gol.

Namun ramai menjadikan tingkah laku itu sebagai inspirasi dalam mencipta identiti, dengan ramai juga yang meniru trademarknya itu.

Gaya sebatinya yang bermula dengan larian, lompatan tinggi dan silangan tangan dari atas ke sisi badan dan diakhiri jeritan ‘Sii’ itu, terlahir secara semulajadi, kali pertama dipertontonkan ketika menentang Chelsea dalam aksi pra-musim bersama Juventus pada 2018.




Di Euro 2020 kali ini, lima kali sudah ‘Sii’ dipersembahkannya, termasuk dua kali ketika menentang Perancis untuk memintas bintang Jerman, Miroslav Klose selaku penjaring terbanyak dalam kombinasi kemunculan di Piala Dunia dan Euro.


Sekurang-kurangnya satu lagi aksi ‘Sii’ perlu dijelmakan Ronaldo, mungkin bermula dengan menentang Belgium di pusingan kalah mati nanti.

Kerana satu lagi gol akan membolehkannya memintas legenda Iran, Ali Daei selaku pemilik tunggal rekod jaringan tertinggi skuad negara di peringkat antarabangsa.

Apa yang pasti, Pele antara yang memberikan sokongan penuh kepada misinya itu – “Vamos! I'm rooting for you!”